KUALA LUMPUR – Serangan balas terhadap tentera Israel boleh dilancarkan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan sekiranya kedudukan mereka diancam.
Malah, serangan balas itu adalah selaras dengan garis panduan mengenai langkah perlindungan seperti yang ditetapkan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Jika berlaku serangan (oleh tentera Israel), dari segi kalau untuk ‘self defence’ (mempertahankan diri) memang boleh (serang balas), untuk kita membalas tembakan dan sebagainya.
“Tetapi, kalau untuk lakukan ‘offensive attack’ (serangan ofensif), maka itu tidak dibenarkan kerana peranan dan tanggungjawab pasukan UNIFIL ini sebagai pengaman.
“Kalau dia diserang (dan) untuk ‘self defence’ (mempertahankan diri), maka ia (serangan balas) boleh dilakukan,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin tahu sama ada pasukan MALBATT Malaysia di Lubnan boleh membuat serangan balas sekiranya diserang tentera rejim zionis itu.
Bagaimanapun, katanya, MALBATT yang beroperasi di selatan Lubnan telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik.
Pasukan itu juga perlu kekal di penempatan masing-masing mengambil kira keselamatan petugas di sana.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pengunduran pasukan MALBATT Malaysia akan diputuskan oleh UNIFIL dengan persetujuan bersama 50 negara terlibat.
Katanya, walaupun ancaman semakin meningkat di selatan Lubnan, tetapi Malaysia tidak akan mengambil tindakan unilateral atau bersendirian melibatkan penyertaan pasukan MALBATT 850-11.
“Sementara di kem kita, ada kemudahan asas untuk rawatan tahap dua dan pada masa sama, kita juga bekerjasama dengan hospital tempatan (di Lubnan),” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, lima anggota pasukan pengaman UNIFIL cedera ketika Israel melakukan serangan terhadap Hizbullah ke selatan Lubnan.
UNIFIL membabitkan kira-kira 9,500 pegawai dan anggota tentera dari sekitar 50 negara yang ditugaskan untuk memantau gencatan senjata yang mengakhiri perang selama 33 hari pada 2006 antara Israel dan Hizbullah. – MalaysiaGazette