Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah memohon kerajaan untuk mengisytiharkan cuti tambahan bagi sambutan Deepavali yang jatuh pada 31 Oktober ini.

Murugiah memohon supaya kerajaan dapat mempertimbangkan supaya hari berikutnya iaitu 1 November (Jumaat) juga menjadi sebagai cuti umum tambahan sekaligus cuti panjang bagi yang hendak pulang ke kampung selain memudahkan amalan kunjung mengunjung.

“Pengisytiharan ini juga akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia menikmati tempoh perayaan yang lebih panjang. Permintaan ini dibuat bagi menghormati kepentingan budaya perayaan tersebut dan memberikan kemudahan kepada mereka yang meraikannya.

“Deepavali merupakan perayaan penting bagi komuniti Hindu di Malaysia, sambutan ini juga adalah masa untuk keluarga setelah sekian lama sibuk dengan kehidupan harian selain perpaduan masyarakat.

“Pastinya cuti tambahan ini ada, kerajaan akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk berkumpul dan meraikan dalam suasana aman dan harmoni selain masa lebih panjang buat semua orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Murugiah merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan untuk mempertimbangkan permintaan itu demi kepentingan perpaduan nasional dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya negara.

“Cuti tambahan ini pastinya bukan sahaja bermanfaat kepada komuniti India tetapi juga memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk turut serta dan menghormati kepelbagaian budaya yang kaya di negara ini.

“Malaysia terkenal dengan keharmonian budayanya. Sehari tambahan cuti akan memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama dalam sambutan dan memperkukuh lagi ikatan sosial kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here