Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin dari Sabah hari ini menegaskan, sebarang pindaan dalam Rang Undang-Undang (RUU) pindaan kewarganegaraan perlu mematuhi Perjanjian 18 Perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Datuk Dr Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) ketika perbahasan di Dewan Rakyat hari ini berkata, perkara itu disebabkan  RUU tersebut penting kerana menyentuh hak kewarganegaraan Malaysia, khasnya untuk Sabah dan Sarawak yang bersetuju membentuk Malaysia sebelum ini.

Katanya, kewarganegaraan Sabah dan Sarawak telah dipersetujui seperti terkandung dalam Perkara 10 yang kini dimasukkan dalam Perlembagaan melalui definisi Persekutuan menerusi Perkara 160 (2) pada Disember 2021.

“Ini termaktub dalam Perkara 14 bahagian 3 Perlembagaan melalui perundangan untuk rakyat Sabah dan Sarawak pada Hari Malaysia serta peruntukan lain yang dibaca bersama dengan jadual kedua.

“Keadaan ini harus dikekalkan untuk Sabah dan Sarawak kerana apa-apa pindaan mengenai kewarganegaraan perlu persetujuan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya kerajaan bertegas mahu meneruskan pindaan kewarganegaraan itu, penubuhan suruhanjaya atau jawatankuasa khusus untuk Sabah dan Sarawak perlu diwujudkan.

“Saya cadangkan satu mekanisme melibatkan peranan Sabah dan Sarawak seperti mewujudkan suruhanjaya atau pun jawatankuasa kewarganegaraan Sabah dan Sarawak dengan menetapkan SOP yang jelas sebagai rujukan pemberian kewarganegaraan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

“SOP itu harus bagi menangani amalan tidak konsisten pemberian kad pengenalan yang ada sekarang, yang mana ada yang diberi dan ada yang ditolak (permohonannya),” ujarnya.

Jeffry berkata, saranan tersebut perlu susulan Projek IC sebelum ini yang didakwa memberikan kad pengenalan kepada hampir 1.5 juta pendatang tanpa izin (PTI) sekali gus mengubah demografi Sabah.

Justeru katanya, rakyat Sabah masih berwaspada dan curiga kepada kerajaan pusat mengenai kewarganegaraan Sabah akibat tindakan buruk sebelum ini seperti Projek IC dan menafikan kewarganegaraan orang asal Sabah dan Sarawak melalui tindakan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Oleh demikian, saya minta Kerajaan Madani semak semula kad pengenalan yang dikeluarkan dalam keadaan meragukan dan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pemegang kad pengenalan yang diragui ini,” tambahnya.

Dalam sidang media semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa segala pindaan yang dicadang ini adalah tepat pada masa, landskap dan dinamika persekitaran sekarang.

Malah, katanya segenap perihal dasar dan tatacara ke arah perbahasan oleh ahli Parlimen juga sudahpun dipenuhi. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here