Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Seramai 37 individu termasuk enam doktor yang ditahan dalam Op Tunjang Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dijangka diheret ke mahkamah pada November depan selepas dipercayai terbabit dengan sindiket tuntutan palsu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, dianggarkan sekurang-kurangnya 37 kertas siasatan dibuka dan sedang disiasat pihaknya selepas tangkapan tersebut.

“Setiap individu yang ditahan, ada kertas siasatan dibuka dengan setiap daripadanya ada saksi tersendiri. Malah, setiap kertas siasatan, ada seorang pegawai penyiasat ditugaskan untuk melengkapkan siasatan.

“Justeru itu, kami menjangkakan kertas siasatan kes ini akan selesai pada November depan supaya suspek terbabit boleh didakwa di mahkamah.

“Harapan TPR agar kertas siasatan sekurang-kurangnya dilengkapi lebih 85 peratus bukti membolehkan ia boleh didakwa di mahkamah,” katanya dalam sidang media Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM bersama Perkeso di Menara Perkeso di Jalan Ampang di sini pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan.

Mengulas lebih lanjut, Azam menambah, setakat ini tiada sebarang tangkapan susulan oleh SPRM dalam kes tersebut.

Meskipun tiada tangkapan susulan dibuat, pihaknya akan terus berkerjasama dengan PERKESO untuk mengesan jika terdapat lagi aktiviti seumpama itu dijalankan.

“Sebelum ini, tujuh operasi utama bersama Perkeso telah dilaksanakan di enam negeri bagi menahan sindiket dan suspek terlibat tuntutan palsu.

“Berdasarkan operasi itu, kami mendapati sindiket ini tidak serik-serik melakukan kesalahan dan mungkin juga mereka akan mengubah modus operandi lain,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, tujuh rombakan dan penambahbaikan dilaksanakan pihaknya sejak 2002 berkaitan pengurusan hilang upaya termasuk fungsi Jemaah Doktor (JD), Jemaah Doktor Rayuan (JDR) dan Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS).

Katanya, Perkeso menjalinkan kerjasama dengan SPRM bagi meningkatkan tatakelola berlandaskan beberapa kes yang dikenal pasti menerusi penahanan 37 individu terbabit penipuan tuntutan.

“Dari semasa ke semasa, kami akan menambah baik prosedur operasi standard sedia ada di agensi ini bagi menutup ruang kepada salah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Dalam hal ini, PERKESO tidak akan berkompromi dengan pihak yang menyalah guna dan mengambil peluang terhadap sistem sedia ada untuk membuat tuntutan palsu,” ujarnya.

Pada 4 September lalu, Azam memaklumkan kerugian daripada tuntutan palsu dibuat oleh kumpulan kartel penipuan itu berjumlah kira-kira RM2.1 juta sejak 2017.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here