PERCERAIAN merupakan isu sensitif yang kian mendapat perhatian, bukan sahaja dalam kalangan mereka yang terlibat tetapi juga di kalangan netizen yang sering menjadi ‘pemerhati’ dan ‘pengulas’ di media sosial. Namun, dalam keadaan seperti ini, peranan netizen sebagai ‘batu api’ atau punca ketegangan boleh menjadi lebih berbahaya daripada isu perceraian itu sendiri.
Dalam Islam, kita ditegah daripada terlibat dalam hal-hal yang tidak memberi manfaat. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Di antara tanda-tanda baiknya keislaman seseorang adalah dia meninggalkan apa yang tidak bermanfaat baginya”. (Hadith riwayat al-Tirmizi no 2317). Hadith ini menyampaikan mesej yang jelas: seorang Muslim yang baik tidak campur tangan dalam perkara yang tiada manfaat.
Dalam era digital ini, ramai yang tidak menyedari bahawa setiap perkataan dan komen yang dilontarkan, lebih-lebih lagi terhadap isu sensitif seperti perceraian, boleh membawa kesan negatif. Sebagai netizen, kita perlu sedar bahawa komen atau pandangan kita, walaupun nampak kecil, boleh mencetuskan api perbalahan dan persengketaan antara mereka yang terlibat.
Lebih membimbangkan, terdapat hadith lain yang memberi amaran keras kepada mereka yang sengaja menjadi penghasut atau ‘batu api’: “Tidak akan masuk syurga orang yang menjadi penghasut (batu api).” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim, 6056/105). Hadith ini memperingatkan kita bahawa perbuatan menghasut, menyebarkan fitnah, atau memecah-belahkan hubungan manusia adalah dosa besar. Dalam konteks perceraian, menyebarkan maklumat atau membuat spekulasi tanpa asas bukan sahaja mencampuri urusan orang lain, malah boleh merosakkan hubungan yang sedang bermasalah, sekali gus memburukkan keadaan dan menyumbang kepada perceraian yang mungkin boleh dielakkan.
Sebagai umat Islam, kita harus sentiasa ingat adab dan tanggungjawab dalam berkata-kata, sama ada dalam kehidupan harian atau di alam maya. Mengkritik tanpa asas, memaki, atau menjadi punca perpecahan bukanlah sifat seorang Muslim yang baik. Sebaliknya, kita dituntut menjaga lidah dan tangan daripada melakukan perkara yang tidak mendatangkan kebaikan atau membawa keburukan kepada orang lain.
Peningkatan kes perceraian dalam masyarakat hari ini memerlukan kita merenunginya dengan penuh kesedaran. Setiap rumah tangga menghadapi cabarannya sendiri, dan kita sebagai netizen tidak seharusnya ‘menambah garam pada luka’. Dalam Islam, menjaga keharmonian antara suami isteri sangat dituntut. Allah SWT berfirman dalam al-Quran: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan antara mereka (suami isteri), maka lantiklah seorang pendamai dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan…” (Surah An-Nisa’, 4:35)
Ayat ini menekankan kepentingan usaha mendamaikan, bukannya menambah ketegangan. Oleh itu, daripada menjadi penghasut, lebih baik kita berusaha untuk membawa keharmonian dan perdamaian kepada mereka yang menghadapi masalah rumah tangga.
Elakkanlah dari menjadi seorang ‘batu api’ dan berusahalah menjadi netizen yang bijak dan beretika, serta tidak melibatkan diri dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah. Setiap kali kita ingin mengulas atau memberi pandangan, tanyakan pada diri: “Adakah ini akan membawa kebaikan atau keburukan?” Jika lebih cenderung kepada keburukan, lebih baik kita berdiam diri. Dalam diam, ada hikmah; dan menjaga lidah adalah kunci kepada keselamatan.
Dzulfaidhi Hakimie Dzulraidi, calon PhD Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.