Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR- Sejumlah RM421 bilion atau 20.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diperuntukkan bagi Belanjawan 2025.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, angka itu meningkat 3.3 peratus berbanding RM407.5 bilion yang  diperuntukkan pada Belanjawan 2024 yang disemak semula.

“Kerajaan terus mengekalkan Belanjawan mengembang meskipun bertekad mengurangkan defisit fiskal secara Anggaran Belanjawan 2025 adalah yang tertinggi pernah diumumkan iaitu RM421 bilion ringgit meliputi RM335 bilion belanja mengurus, RM86 bilion ringgit belanja pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Tinjauan Fiskal 2025 oleh Kementerian Kewangan, seperti biasa, tiga penerima utama belanjawan adalah Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan yang secara kolektif menyumbang 31 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Pada 2025, OE dianggar berjumlah RM335 bilion atau 16.1 peratus daripada KDNK, meningkat sebanyak 4.2 peratus berbanding peruntukan 2024 yang disemak semula.

Tambahnya, emolumen kekal sebagai komponen terbesar OE dengan 31.6 peratus dan diunjur berkembang sebanyak 6.2 peratus kepada RM105.9 bilion.

Ini terutamanya selepas kerajaan melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmataan Awam (SSPA) yang melibatkan kenaikan gaji hakiki antara 7 hingga 15 peratus secara berperingkat.

Ia ditambah dengan peningkatan 17.7 peratus bayaran persaraan kepada RM40.6 bilion.

Untuk rekod, bayaran persaraan menyumbang 12.1 peratus kepada OE pada 2025.

Dalam pada itu, DE sebanyak RM86 bilion dikekalkan pada 2025 yang menjadi tempoh akhir RMK12.

Menurut Kementerian Kewangan,  sektor ekonomi menjadi penerima tertinggi OE dengan 46.5 peratus diikuti sektor sosial sebanyak 34.8 peratus.

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata, peruntukan RM421 bilion yang diumum dalam Belanjawan 2025 hari ini diperolehi menerusi cukai pendapatan, 19.2 peratus masing-masing daripada perolehan bukan cukai dan pinjaman serta penggunaan aset kerajaan diikuti cukai tidak langsung (16.7 peratus) dan cukai-cukai lain (3.1 peratus). -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here