Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari meramalkan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang nanti adalah bersifat ekspansif atau lebih meluas kepada rakyat.

Fadhli yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas turut menjangkakan bajet tahunan ini akan menjadi bajet terbesar dalam sejarah dengan peruntukkan kira-kira RM405 bilion.

“Faktor kenaikan bajet kerana perbelanjaan operasi (Opex) dijangka mencapai RM325 bilion akibat kenaikan gaji kakitangan awam, pencen dan bantuan tunai bersasar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhli berkata, terdapat cabaran bagi kerajaan kerana pendapatan negara terjejas akibat sumbangan Petronas makin berkurangan.

“Implikasinya mungkin cukai baharu diperkenalkan,” katanya lagi.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen jam 4 petang ini.

Bertemakan ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, ia adalah belanjawan ketiga oleh kerajaan di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Anwar pada 7 Oktober lalu menyatakan keyakinan terhadap Belanjawan 2025 selepas menandatangani dokumen rasmi belanjawan itu di Kementerian Kewangan.

Belanjawan 2025 juga dijangka memberi tumpuan kepada meningkatkan siling ekonomi menerusi penyusunan semula ekonomi melalui peralihan hijau, meningkatkan daya saing dan produktiviti negara, menarik pelaburan, serta mempromosikan inovasi dan digitalisasi khususnya dalam kalangan perusahaan kecil, sederhana dan mikro (PMKS).

Anggaran saiz Belanjawan 2025 dijangka meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada RM403.5 bilion, terutama akibat kenaikan gaji penjawat awam yang akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2026. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here