Gambar Hiasan

SERI ISKANDAR – Seorang kanak-kanak lelaki nyaris maut selepas terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung insiden tersebut jam 10.50 malam.

Jelas beliau, mangsa berusia enam tahun itu dikejarkan ke Hospital Changkat Melintang dengan menaiki ambulans pada jam 11.20 malam bagi rawatan awal.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai terjatuh ketika memanjat balkoni rumah untuk bermain bersama rakan-rakan.

“Mangsa mengalami kecederaan namun kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut di Wad Pediatrik Intensif (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, semakan lanjut mendapati semasa kejadian, mangsa tinggal bersama kakaknya yang berusia 12 tahun dan adik perempuannya berusia setahun sembilan bulan, manakala ibu mangsa keluar bekerja.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Aminuddin Haiqal Mohamed Masnani di talian 019 675 1267,” katanya.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here