Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihati agar lebih berwaspada dengan tawaran khidmat nasihat perundangan menerusi media sosial yang dikesan tular sejak kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis terkesan di aplikasi TikTok berkenaan tawaran perkhidmatan guaman percuma itu yang melibatkan kes-kes penipuan dalam talian.

Katanya, siasatan awal polis mendapati perkhidmatan ini didapati merangkumi tawaran untuk mendapatkan semula wang mangsa yang telah ditipu oleh pihak scammers.

“Sekali lagi ingin saya tegaskan, apa jua tawaran di media sosial yang kononnya boleh mendapatkan semula wang kerugian mangsa adalah satu bentuk penipuan.

“Sebenarnya terdapat proses undang-undang yang perlu dipatuhi bagi memproses pemulangan semula wang kepada mangsa penipuan dan ia hanya boleh dilakukan oleh pegawai penyiasat yang mana tiada sebarang jalan pintas untuk perkara ini sama ada melalui agen, badan bukan kerajaan (NGO) atau sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar  jangan sesekali percaya kepada sebarang tawaran di media sosial berkenaan perkara sebegini.

“Polis khuatir tindakan mempercayai tawaran tersebut akan menjadi umpama “keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya”,” katanya lagi.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here