KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkukuhkan kekuatan perjawatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 13 daerah di Sarawak bagi menjamin keselamatan negara.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, usaha memperkukuh perjawatan di jabatan itu telah mendapat perhatian dan sokongan daripada kerajaan negeri yang komited dalam memerangi dadah.
Katanya, usaha itu diambil bagi mengekang penglibatan lebih ramai masyarakat terjebak dalam penyalahgunaan dadah.
“Kekuatan jawatan JSJN di Sarawak adalah langkah untuk memperkukuhkan keselamatan ekoran pemindahan ibu kota Indonesia ke Wilayah Kalimantan Timur.
“Justeru, adalah diharapkan pertambahan perjawatan ini dapat dipenuhi secepat mungkin,” katanya semasa berucap dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bulan Oktober 2024 anjuran JSJN di Bukit Aman.
Tambah Razarudin, JSJN yang dianggap sebagai titik fokus perlu sentiasa cakna dan proaktif selaras dengan perubahan globalisasi yang menjadikan sindiket dadah semakin licik dan kompleks.
Katanya lagi, antara tahun 1960-an hingga 1990-an, aktiviti penagihan dadah dalam kalangan rakyat Malaysia memfokuskan kepada pengambilan dadah jenis tradisional seperti candu, heroin, morfin dan ganja.
“Namun, trend penyalahgunaan dadah berubah sejak 1990-an apabila kebanyakan penagih dadah menggunakan dadah jenis sintetik yang dihasilkan melalui pemprosesan bahan kimia sintetik seperti amphetamine, methamphetamine dan pil psikotropik.
“Dadah jenis sintetik memberikan kemudaratan yang lebih besar sehingga membolehkan seseorang mengalami hilang ingatan atau kurang waras,”ujarnya.-MalaysiaGazette