KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan ‘Kakaue’ di negara ini dengan tertangkapnya enam suspek yang disyaki  terlibat dalam kegiatan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita itu diberkas dalam beberapa siri serbuan bermula 7 hingga 11 Oktober lalu.

“Dalam siri serbuan yang dijalankan di negeri Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Melaka, dan Johor, pasukan serbuan berjaya menangkap beberapa individu yang dikenalpasti sebagai pemilik akaun keldai yang digunakan oleh sindiket penipuan pelaburan ‘Kakaue’.

“Kesemua suspek yang ditahan itu adalah warga tempatan berusia lingkungan antara 19 hingga 41 tahun.

“Siasatan polis mendedahkan semua suspek ini berperanan sebagai pemilik syarikat keldai yang digunakan untuk menerima wang pelaburan daripada mangsa-mangsa yang menyertai skim pelaburan tersebut,” katanya hari ini.

Siasatan mendapati sindiket ini mengiklankan tawaran pelaburan melalui Facebook dengan menggunakan nama Syarikat Kakaue yang kononnya bertindak sebagai broker pelaburan kripto.

Modus operandi sindiket ini adalah memasukkan mangsa yang berminat ke dalam kumpulan Whatsapp dan diterangkan perihal pelaburan tersebut.

Seterusnya, mangsa diminta memuat turun aplikasi pelaburan Kakaue dan mendaftar untuk menjadi ahli.

“Setelah mendaftar, mangsa perlu menghubungi pusat khidmat pelanggan untuk mendapatkan arahan bagi pembayaran wang pelaburan ke beberapa akaun syarikat.

“Melalui aplikasi yang dimuat turun, mangsa akan dapat melihat pelaburan mereka menjana keuntungan tetapi apabila ingin membuat pengeluaran, pihak syarikat akan memberikan pelbagai alasan,” ujar beliau.

Ramli berkata, setakat ini polis telah menerima sebanyak 50 laporan polis di seluruh negara melibatkan nilai kerugian berjumlah RM18,333,064.03 (RM18.3 juta).

Kes sedang disiasat di Bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here