GUA MUSANG – Lebih 1,000 penduduk di Pos Gob, di sini terputus hubungan jalan darat berikutan kejadian tanah runtuh di tiga kawasan laluan berbukit serta kerosakan sebuah jambatan kayu susulan hujan lebat melanda kawasan itu semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada penduduk melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa tiga kawasan di laluan berbukit menuju ke penempatan tersebut telah mengalami tanah runtuh, manakala jambatan yang merentasi Sungai Senteg yang merupakan satu-satunya laluan keluar masuk bagi penduduk juga hampir runtuh.

“Paras air Sungai Puian turut meningkat sehingga memaksa penduduk bergotong-royong untuk mengangkat motosikal ke seberang sungai.

“Saya difahamkan terdapat sekumpulan penduduk yang terkandas ketika dalam perjalanan pulang ke Pos Gob dan terpaksa bermalam di kawasan hutan kerana keadaan jalan yang tidak dapat dilalui,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Azmawi Fikri berharap agar tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkenaan untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk yang terputus bekalan makanan sebelum ketibaan Monsun Timur Laut pada bulan depan.

“Saya menasihatkan penduduk Orang Asli agar tidak menghampiri laluan berisiko tanah runtuh serta mengehadkan pergerakan pada waktu ini,” katanya. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here