Sebahagian penjawat awam ketika tinjauan sempena Belanjawan 2025 di Perak. Foto ANIQ NABILFAIQ, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM500, kata Perdana Menteri.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, bantuan sebanyak RM250 turut diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.

“Bantuan ini akan mula disalurkan pada bulan Februari tahun depan,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata, di bawah kesejahteraan penjawat awam juga, kerajaan turut menyediakan lebih RM1.8 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.

Sejajar dengan dasar pembelajaran sepanjang hayat pula, ujar beliau, kerajaan memperkenalkan Program APEL.Q di bawah kendalian Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

“Di bawah program ini, kerajaan akan menanggung kos pengajian sebanyak 50 peratus atau maksimum RM15,000 kepada penjawat awam yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Selain itu, tambah Perdana Menteri, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) juga akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda untuk penjawat awam muda memohon pembiayaan perumahan sehingga 40 tahun. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here