MELAKA – Belanjawan 2025 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan memastikan struktur ekonomi berada dalam kedudukan yang kukuh dan stabil.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut menghargai keprihatinan Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan tiga buah projek di negeri itu.
Menurutnya, projek berkenaan adalah pembinaan pusingan U bertingkat dan direct U-Turn dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Taman Cheng Perdana, Melaka Tengah.
“Dua lagi adalah pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral dan balai polis baharu di Tanjung Minyak dan semoga peruntukan yang disediakan ini mampu memperkasa pertumbuhan ekonomi negeri Melaka.
“Ini sekali gus membantu merencana pembangunan yang terancang serta membina masa depan rakyat Melaka yang sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas pengumuman projek secara Kerjasama Awam Swasta (PPP) untuk Projek Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) bagi jajaran Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor.
“Pada pandangan kerajaan negeri, jajaran ini akan memberi manfaat kepada Melaka kerana menyediakan alternatif untuk pengguna jalan raya ke Melaka selain Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
“Belanjawan 2025 dilihat turut memberi manfaat kepada rakyat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyediakan projek-projek bagi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Jelas beliau, ia turut disentuh Perdana Menteri meliputi peruntukan untuk pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bantuan pendidikan, infrastruktur kesihatan dan pembangunan usahawan.
Antara lain adalah mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan, kesejahteraan pesawah dan nelayan, bantuan dan pembiayaan perniagaan, kemudahan penjaja dan peniaga kecil.
“Melaka juga komited untuk merangka pelbagai inisiatif seperti bantuan-bantuan kebajikan, menstruktur pembangunan, merencana program-program inklusif dan sebagainya.
“Semua ini dirangka berdasarkan keperluan sasaran setiap golongan rakyat Melaka yang akan dibentangkan di Persidangan Dewan Belanjawan Negeri Melaka 2025 yang dijangka pada 9 hingga 12 Disember ini,” katanya. – MalaysiaGazette