Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneliti beberapa isu tatakelola dalam pemberian tender projek 1BestariNet sebelum memanggil Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa individu lain bagi membantu siasatan dalam kes tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan memanggil mana-mana pihak termasuk Muhyiddin tanpa memperincikan spesifik tempoh masanya.

Katanya lagi, pegawai penyiasat SPRM kini sedang melihat secara rawak tentang pembekalan data yang diberikan oleh syarikat berkenaan kepada pihak sekolah.

“Beliau (Muhyiddin) akan dipanggil bersama mana-mana pihak lain untuk bantu siasatan kes ini namun belum buat masa ini lagi.

“Oleh demikian, kita perlu mengkaji dengan lebih teliti kes ini, dalam kes 1BestariNet, saya ulang sekali lagi bukan sahaja kita melihat dari segi isu jenayah di sini tetapi juga pelbagai isu berkaitan tatakelola dalam pemberian tender berkenaan kepada syarikat terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Menandatangi Laporan Penambahbaikan Tatakelola di Antara SPRM bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Jalan Ampang di sini.

Sebelum ini SPRM dilaporkan berkata, sedang mempertimbangkan untuk memanggil bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagi membantu siasatan kes 1BestariNet.

Turut difahamkan, nama Mahdzir adalah antara pemimpin dalam senarai penyiasat SPRM selain Muhyiddin yang juga merupakan bekas Menteri Pendidikan.

Sebelum ini SPRM telah memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL pada 2011.

Pada 2011, kerajaan memulakan projek 1BestariNet dengan matlamat menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada 10,000 sekolah di negara ini dan melaksanakan Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE).

Kementerian Pendidikan menganugerahkan kontrak selama 15 tahun bernilai RM4.1 bilion kepada YTL Communications Sdn Bhd (Yes 4G) bagi pelaksanaan projek itu.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here