Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Subsidi dan bantuan sosial dijangka menurun sebanyak 14.4 peratus kepada RM52.6 bilion pada 2025.

Menurut Tinjauan Fiskal 2025 oleh Kementerian Kewangan, pengurangan subsidi dan bantuan sosial yang merangkumi 15.7 peratus daripada perbelanjaan mengurus (OE) adalah selaras dengan pelaksanaan program rasionalisasi elektrik dan bahan api bersasar.

“Pelaksanaan subsidi dan bantuan sosial secara pukal telah menyediakan sokongan kewangan kepada rakyat tanpa mengira tahap pendapatan.

“Pendekatan ini menyebabkan ketidakcekapan pengurusan sumber berikutan penyeludupan, penyalahgunaan, pembaziran serta memanfaatkan golongan kaya dan bukan warga negara,” katanya sambil menambah kerajaan melaksanakan subsidi bersasar bagi mengoptimumkan perbelanjaan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan sedar penyasaran semula subsidi terutamanya berkaitan bahan api boleh menyebabkan kenaikan barangan keperluan asas dan perkhidmatan yang secara tidak langsung boleh menjejaskan kuasa beli rakyat.

Namun, penyesuaian harga minyak secara berperingkat seperti yang dilaksanakan menerusi pengapungan harga secara bulanan dan seterusnya secara mingguan dalam tempoh 2014 hingga 2018 tidak memberi kesan ketara kepada inflasi.

Tambah Kementerian Kewangan, dalam tempoh tersebut kadar inflasi secara purata adalah sebanyak 2.4 peratus.

Bagi mengurangi impak rasionalisasi subsidi kepada rakyat, kerajaan memberikan bantuan tunai secara bersasar kepada kumpulan B40.

“Sehubungan itu, kerajaan akan terus memastikan pemindahan kos kepada rakyat akibat langkah penyasaran subsidi serta impak ke atas inflasi dapat dikurangkan melalui langkah sokongan kepada golongan sasar,” katanya.

Untuk rekod, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM40 bilion dan memanfaatkan hampir sembilan juta isi rumah termasuk warga emas tiada pasangan dan individu bujang pada 2024.

Secara purata, bantuan maksimum isi rumah dinaikkan kepada RM3,100 kepada RM3,700 setahun manakala kadar minimum bagi individu juga ditambah kepada RM500 berbanding RM300 sebelum ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here