Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan tambang percuma kepada semua mahasiswa universiti, politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pas bulanan My50 diteruskan bagi manfaat 180,000 pengguna Lembah Klang menggunakan bas dan rel Prasarana.

Perkhidmatan bas henti-henti terus disokong dengan peruntukan lebih RM270 juta  dan setiap bandar utama di semua negeri akan dipastikan dapat menerima manfaat.

Capaian bas ditingkatkan di Lembah Klang dengan RM10 juta disediakan bagi menambah lorong bas khas melibatkan Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Gombak sepanjang 47 kilometer.

Sebanyak 100 hentian bas di Lembah Klang akan ditambah baik melibatkan kerjasama GLC dan badan swasta bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna perkhidmatan bas awam.

Prasarana akan menyediakan kemudahan van untuk anak-anak ke sekolah daripada stesen tren terpilih dengan bayaran 50 sen sehala.

Sebagai permulaan, stesen yang terlibat ialah di LRT Sri Rampai dan LRT Melati.

Menurut beliau, peruntukan ini dalam usaha kerajaan memastikan sistem pengangkutan awam yang cekap, berpatutan dan selesa untuk manfaat semua rakyat.

Anwar berkata, perkhidmatan udara luar bandar Sabah Sarawak diteruskan dengan peruntukan lebih RM200 juta.

Ini termasuk membuka laluan baharu dari Kota Kinabalu ke Layang-layang dan Miri ke Long Banga.

Dalam pada itu, Prasarana pula telah membuat perolehan 250 bas elektrik tahun ini.

Kementerian Pengangkutan juga telah memulakan perolehan 12 gerabak tren penumpang KTMB bagi keselesaan penumpang manakala 50 gerabak tren lagi akan diperoleh secara pajakan melalui kerjasama kerajaan-kerajaan dengan China – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here