Naib Ketua Sayap Bersekutu, Datuk eSri Sanjeevan.

KUALA LUMPUR – Walaupun Belanjawan 2025 telah memperuntuk sebanyak RM421 bilion iaitu peningkatan 3.3 peratus daripada RM407.5 bilion tahun sebelum ini namun masih ada yang tidak gembira mengenainya.

Ia termasuklah kaum India yang merupakan komuniti ketiga terbesar di negara ini kerana peruntukan  itu dianggap sekadar RM130 juta untuk memperkasakan dan membantu meningkatkan sosio ekonomi mereka.

Itu antara luahan Naib Ketua Bersekutu, Datuk Seri Sanjeevan.

Menurutnya, sejak dari awal lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengakui antara kaum ‘miskin tegar’ dan memerlukan pemerksaaan adalah kaum India malah pada awal menerajui negara ini beliau berikrar untuk memerangi isu berkenaan.

“Adakah isu-isu itu sudah diselesaikan? Belanjawan 2025 dan 2024 tidak ada perbezaan ketara untuk kaum India langsung. Malah tidak ada juga apa-apa pengumuman peruntukan lain bagi tujuan yang pernah Anwar ikrar sebelum ini.

“Benar, belanjawan kali ini lebih kepada rakyat Malaysia secara umum dan bukan lagi mengikut kaum.

“Tapi sememangnya ada banyak peruntukan diberikan kepada yang lain. Bukankah kaum ini juga telah banyak berjasa kepada kerajaan hari ini sehingga angkat beliau menjadi Perdana Menteri?

“Adakah RM130 juta ini cukup untuk tujuan memartabatkan mereka? Saya sendiri tertanya-tanya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Sanjeevan, ketika Anwar menjadi Ketua Pembangkang, begitu banyak janji beliau kepada masyarakat India.

Menurutnya, jika hendak dibandingkan dengan kerajaan sebelum-sebelum ini, banyak peruntukan telah diberikan bukan sahaja untuk sosio ekonomi sebaliknya juga peruntukan besar saban tahun untuk pendidikan dan sekolah Tamil.

“Sebelum ini juga, Pengerusi MITRA, P Prabakaran dari kerajaan anda sendiri mengakui peruntukan sebanyak RM100 juta tidak cukup untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif dan program yang mampu membawa pelbagai transformasi kaum India untuk semua golongan termasuk dalam kalangan belia. Beliau minta RM300 juta.

“Sedih sangat bila anda turun ke bawah, dengar keluh kesah masyarakat ini. Negara sudah bergerak ke arah teknologi hebat tapi segelintir kaum ini terus berada di takuk lama, terus dihantui kemiskinan. Negara ini diliputi rakyat berbilang kaum dan bangsa, kaum India salah satunya.

Belanjawan 2025 semalam telah memperuntukkan dana untuk pembangunan sosioekonomi masyarakat India antaranya RM100 juta bagi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dan RM30 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here