Dua pegawai JIM Pulau Pinang direman selama tiga hari bantu siasatan atur kemasukan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Dua pegawai imigresen direman selama tiga hari bagi membantu siasatan terlibat mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas di sini.

Perintah reman terhadap wanita dan lelaki berusia 40-an itu dikeluarkan Majistret, Muhamad Qayyum Noordin bermula hari ini sehingga 21 Oktober depan selepas permohonan tersebut dibuat pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Permohohan reman terhadap dua pegawai itu dibenarkan bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Salah seorang pegawai imigresen yang ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang semalam.

Terdahulu, kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah dengan berpakaian lokap menaiki sebuah kenderaan SPRM dan tiba jam 10 pagi.

Semalam, SPRM Pulau Pinang menahan dua pegawai agensi penguat kuasa antara jam 12.30 hingga 1.30 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM negeri.

Sumber berkata, tangkapan terhadap kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa terbabit dibuat susulan tangkapan lelaki warga Bangladesh di sebuah hotel di sekitar negeri ini pada Khamis lalu.

“Kedua-dua pegawai ini dipercayai bersekongkol dengan lelaki warga Bangladesh berkenaan yang bertindak sebagai ejen bagi mengatur laluan masuk seorang warga Indonesia tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.

Kedua-dua pegawai itu ditahan susulan tangkapan seorang lelaki Bangladesh.

“Berdasarkan siasatan awal, lelaki Bangladesh bersama pegawai agensi penguat kuasa lelaki terbabit meminta RM4,500 daripada seorang lelaki warga Indonesia yang tiba di LTAPP pada 22 September lalu sebagai balasan membantunya masuk ke negara ini.

“Lelaki berkenaan diarahkan pergi ke satu kaunter khas yang dijaga seorang pegawai wanita bagi urusan masuk ke negara ini tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.

“Kita menahan lelaki warga Bangladesh itu selepas dipercayai menerima RM2,000 daripada lelaki warga Indonesia terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek berkenaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here