petrol
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai mahu kerajaan memberi penjelasan secara terperinci mengenai cadangan kerajaan untuk menarik balik subdisi petrol RON95 pada tahun depan.

Penjelasan rapi itu pada pandangan mereka perlu dibuat oleh kerajaan kerana cadangan penamatan subsidi petrol RON95 ini dikhuatiri memberi kesan besar kepada poket rakyat terutama kepada golongan M40 dan B40.

Meskipun menarik balik subsidi RON95 ini dilihat positif kepada perbelanjaan kerajaan dan jaminan kerajaan bahawa 85 peratus pengguna tidak terjejas tetapi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, cadangan ini cukup menggusarkan.

Azrilhafiz Zainal

Seorang pekerja swasta, Azrilhafiz Zainal, 40, berpendapat, tidak salah sekiranya kerajaan mahu melaksanakan penyasaran RON 95 tetapi golongan B40 paling banyak menggunakan motor dan kereta kecil.

Jika hendak dibandingkan dengan penggunaan diesel, bahan api ini digunakan oleh kenderaan besar yang dimiliki syarikat atau perniagaan maha kaya. Tetapi golongan B40 banyak menggunakan petrol RON95.

“Kerajaan sepatutnya mengeluarkan garis panduan yang difahami oleh rakyat sebelum melaksanakan cadangan ini.

“Mekanisme macam mana, adakah sekadar berpandukan kepada Data Padu sahaja?

“Jelaskan kepada kami apa penyelesaian kerajaan sekiranya harga minyak mentah dunia mencanak dan nilai ringgit merudum. Perkara ini perlu dijelaskan supaya kami faham,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tania Tahir

Seorang pekerja swasta, Tania Tahir, 40, turut melahirkan kegusaran dengan cadangan yang dibuat oleh kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2025, semalam.

Menurutnya, sebarang kenaikan harga barang – termasuk harga petrol, sudah pasti akan memberi kesan rantaian kepada harga barang.

“Harga barang mentah di Malaysia terutama bahan-bahan makanan naik. Harga ikan, sayur, daging tidak menentu disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk bekalan, cuaca dan kenaikan gaji dan sebagainya.

“Saya tidak rasa harga barangan semakin menurun sekiranya subsidi petrol RON95 ditarik semula.

Percayalah, dengan cadangan ini, bukan sahaja barang makanan mentah bertambah mahal, tambang van sekolah juga akan naik. Pastinya, kelompok M40 paling terasa,” ujarnya.

Mohd Fadhly Ruslan

Lantaran itu, seorang peniaga Mohd Fadhly Ruslan, 30, mahu jaminan kerajaan  pelaksanaan rasionalisasi RON95 tidak menyebabkan berlaku implikasi lain terhadap kehidupan golongan M40.

Katanya, berbanding golongan B40 yang menerima pelbagai bentuk bantuan, pembentangan Belanjawan 2025 masih dilihat meminggirkan M40.

Ditambah dengan penarikan subsidi petrol RON95, pastinya kos sara hidup golongan itu cukup terjejas terutama mereka yang memiliki keluarga besar.

“Sebarang cadangan kenaikan harga, penarikan semula subsidi pastinya yang menjadi mangsa keadaan adalah golongan M40. Golongan ini paling terhimpit kerana tiada bantuan spesifik, bahkan perlu membayar pelbagai bentuk cukai.

“Jadi, sebelum melaksanakan penyasaran subsidi, saya syorkan kepada kerajaan lihat mekanisme bantuan kepada M40 terlebih dahulu,” katanya.

Semalam, dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri berkata, kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan yang dicapai itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat seperti dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan.

“Bagi mengelak kekeliruan, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tanggungan subsidi masih diteruskan untuk rakyat terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast