PETALING JAYA – Setelah 20 hari prosiding sejak 4 Februari lalu, pihak pendakwaan hari ini menutup kes dalam perbicaraan melibatkan pasangan ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Zaim Ikhwan yang didakwa atas pertuduhan mengabaikan anak autisme berusia enam tahun itu.
Penutupan kes diumumkan selepas saksi pendakwaan ke-28 iaitu pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Hafizee Ismail selesai memberikan keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan mahkamah, pihaknya menawarkan 23 lagi saksi yang tidak dipanggil untuk memberi keterangan kepada pasukan pembelaan andainya diperlukan.
Manakala peguam yang sedang membela kedua-dua tertuduh itu, Haresh Mahadevan pula memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti tujuh saksi yang dijangka akan dipanggil sekiranya mahkamah memutuskan terdapat kes prima facie terhadap tertuduh.
Hakim Syahliza kemudian mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 23 Mei ini manakala jawapan balas hendaklah dikemukakan pada 6 Jun 2025.
“Saya akan sampaikan keputusan pada 21 Julai depan. Sekiranya keputusan memihak kepada pendakwaan, pihak pembelaan perlu memulakan kes mereka pada hari yang sama,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, hakim juga menetapkan 22 dan 23 Julai serta lima hari tambahan bermula 4 Ogos ini untuk menyambung perbicaraan jika kes diteruskan ke fasa pembelaan.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada 5 Disember 2023.
Pertuduhan jika sabit salah mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.
Mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. -MalaysiaGazette














