Tangkap layar menunjukkan pemandu kereta jenis Proton Wira memandu secara melulu di Jalan Dato Keramat, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Pemandu kereta jenis Proton Wira yang tular memandu secara berbahaya di bandar raya ini telah diberkas polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, suspek berusia 39 tahun yang berasal dari Ayer Itam itu ditahan di Jalan Dato Keramat jam 7.30 malam, pada Khamis lalu.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada 12 September lalu di Jalan Dato Keramat dan Lebuh Chulia di sini.

Swee Sake.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 12 rekod pelbagai kesalahan jenayah dan narkotik.

“Selain itu, ujian awal saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Swee Sake, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kes memecahkan cermin sebuah kenderaan menggunakan tangan dalam kes jenayah berasingan yang dilaporkan berlaku pada hari tangkapan.

“Suspek direman selama tiga hari sehingga esok dan dijangka didakwa di mahkamah pada hari Isnin ini” katanya.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi lebih tiga minit menunjukkan suspek memandu secara melulu termasuk memberhentikan kenderaannya secara mengejut apabila ada pemandu kereta lain membunyikan hon susulan pemanduannya yang berbahaya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here