Gambar Hiasan

KUANTAN – Seorang penjual aiskrim warga Kemboja maut dihempap pokok tumbang ketika sedang menunggang motosikal melalui Jalan Air Terjun Panching di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata dalam nahas pada 5.55 petang itu, mangsa seorang lelaki, Sen Sauat, 29, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah dihempap sebatang pokok ketika perjalanan pulang dari berniaga aiskrim di kawasan air terjun berkenaan.

“Setibanya di tempat kejadian, angin kuat dan hujan lebat serta pokok tumbang telah menghempap mangsa. Semasa kejadian, hanya mangsa yang melalui jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here