KOTA BHARU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan masih melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti kemungkinan harimau yang ditangkap hari ini adalah harimau yang sama menyerang dua lelaki hingga maut di Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan baru-baru ini.
Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata harimau yang ditangkap itu akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak untuk tindakan lanjut.
“Ketika tangkapan dilakukan harimau belang tersebut dalam keadaan sihat dan berdasarkan pemerhatian awal haiwan itu berusia lebih kurang lapan hingga 10 tahun.
“Operasi tangkapan dilakukan susulan serangan harimau belang yang menyebabkan kematian seorang lelaki warga Myanmar di Ladang Cili Thek Him Vegetables Resources Batu 18, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Jeli pada Rabu lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, kejadian sama berlaku sehari sebelum itu apabila seorang lelaki tempatan Adnan Ismail, 54, meninggal dunia diserang harimau belang ketika turun dari rumah kongsi berdekatan kawasan hutan di KM79.2 JRTB Gerik-Jeli di Bersia, Gerik.
Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata dengan kejayaan operasi tangkapan itu diharap dapat meredakan kegusaran para pekerja ladang namun mereka masih perlu berjaga-jaga dengan keluar bekerja secara berkumpulan dan tidak berseorangan.
Mengikut rekod terdapat enam kes kecederaan dan kematian akibat diserang harimau di Kelantan dalam tempoh tiga tahun lepas.
Terdahulu, Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff mengesahkan seekor harimau belang hari ini memasuki perangkap dipasang pihak Perhilitan, selepas tular gambar dan video dikongsi oleh orang awam menerusi Facebook berkaitan tangkapan haiwan liar itu. – BERNAMA