Datuk Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga fokus utama Kementerian Perpaduan Negara yang akan dilaksanakan tahun depan menerusi peruntukan yang diterima melalui Belanjawan 2025.

Ia adalah pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga Progresif, Eksplorasi Rukun Negara dan Inisiatif Harmoni Madani.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata. kementerian berkenaan komited untuk terus memperkasa hala tuju perpaduan negara melalui pelbagai inisiatif dan program yang bakal dilaksanakan melalui peningkatan 11.88 peratus peruntukan  yang diumumkan semalam.

“Melalui peruntukan ini, KPN akan terus memperkasa hala tuju perpaduan negara melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif serta program yang dapat melestarikan perpaduan rakyat di samping memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu. beliau optimis belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam selari dengan Rancangan Malaysia ke-12 yang menyasarkan Indeks Perpaduan Nasional sebanyak 0.7 peratus pada tahun depan.

Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan pelbagai program berimpak positif penting bagi mewujudkan asas yang kukuh untuk meningkatkan interaksi rakyat pelbagai latar belakang.

Sebagai rekod melalui Belanjawan 2025, Kementerian Perpaduan Negara menerima peruntukan RM711.34 juta.

Daripada jumlah keseluruhan itu, RM587.35 juta khusus untuk Perbelanjaan Mengurus dan RM123.99 juta adalah untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Dalam masa yang sama, Anwar turut mengumumkan beberapa inisiatif khas untuk kementerian itu antaranya adalah Pelaksanaan Program Perpaduan, Integrasi Nasional dan Keharmonian bagi memupuk semangat perpaduan serta jati diri (RM50 juta).

Turut diumum, pemperkasa peranan Kawasan Rukun Tetangga sebagai penghubung jalin dalam komuniti (RM20 juta), pendigitalan bahan-bahan khazanah warisan negara dalam usaha
memperkasa pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam (RM15 juta) dan pembaikan dan penyelenggaran premis perpaduan bagi meningkatkan perkhidmatan awam kepada rakyat (RM10 juta).- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here