ALOR GAJAH – Penduduk Kampung Bukit Tampoi, di sini gempar apabila enam ekor ternakan kambing ditemukan mati dipercayai diserang harimau kumbang pagi semalam.
Ketika ditemukan di kandang pukul 10 pagi itu, kesemua enam bangkai kambing berkenaan dalam keadaan badan sudah dirobek dan dimakan haiwan liar.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada penduduk pada pukul 8.33 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebanyak enam ekor kambing milik penternak telah mati akibat serangan tersebut.
“Bagaimanapun, kita tidak menemui apa-apa kesan tapak kaki haiwan liar harimau kumbang sebagaimana didakwa di lokasi kejadian.
“Pihak jabatan bagaimanapun akan teruskan pemantauan di kawasan ini dan mengharapkan penternak kambing juga kena tingkatkan kawalan keselamatan agar spesies yang belum dikenalpasti ini tidak datang menghampiri semula kawasan ini.
“Kita juga akan memasang perangkap kamera untuk mengenal pasti punca kejadian ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pengadu lelaki berusia 34 tahun di dalam kejadian itu sudah membuat laporan berhubung kejadian itu pukul 2.15 petang semalam.
“Siasatan mendapati pengadu adalah penternak sepenuh masa sejak dua tahun lalu dan sejak itu, sebanyak 13 ekor kambing ternakannya dimakan haiwan liar itu.
“Pengadu mendakwa, dalam kejadian terbaru semalam, dia mendapati lima kambing sudah mati dan seekor ditemui mati dalam jarak 200 meter dari kandang,” katanya.
Tambahnya, kes diserahkan kepada Perhilitan untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette