Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad

Pada 2 Julai 2024, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar (Menteri Agama) telah membentangkan Rang Undang-Undang Mufti Wilayah Persekutuan 2024 (RUU Mufti) bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat. Ia akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen yang bermula 14 Oktober 2024.

Pada 10 Julai 2024, Berita Harian menyiarkan berita “Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah baginda tidak berkenan apabila nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan).

Perkembangan itu dimaklumkan melalui Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu hantaran di Facebook hari ini.”

Pada 11 Julai 2024, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) memaklumkan “perincian mengenai… (RUU Mufti)… itu akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja minggu hadapan.

Perdana Menteri berkata, ketika ini RUU berkenaan dalam proses perbincangan di peringkat pakar.

“RUU Mufti sedang dibincang dan mendengar pandangan, (bagaimanapun) tidak ada pertikaian dalam soal Ahli Sunnah Wal Jamaah dan merujuk (mazhab) Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali serta pandangan lain.””

Pada 16 Oktober 2024, Astro Awani melaporkan “Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin (Mufti Perlis) mengkritik keras Menteri Agama kerana mensyaratkan akidah Ashairah dan Maturidiyyah sebagai identiti Ahli Sunnah wal Jamaah.

Mufti Perlis itu berkata, “kebanyakan besar umat Islam tidak memahami berkaitan ajaran Al-Ashairah dan Al-Maturidiyyah yang ingin dijadikan sebagai identiti Ahli Sunnah wal Jamaah.

Malah beliau …. mendakwa Mohd Na’im sendiri belum tentu faham berkaitan perkara itu.

“Saya berani katakan, insya-Allah Menteri Agama yang beriya-iya mahu mensyaratkan akidah rakyat dengan syarat-syarat itu pun kurang faham. Saya boleh buktikan, insya-Allah jika saya diberikan ruang secara terbuka disaksikan rakyat untuk bersoal-jawab dengan beliau berkaitan beberapa soalan tentang Ashairah, Maturidiyyah, al-Junaid dan al-Ghazali.

“Jika beliau benar, beliau dahululah buktikan beliau faham sebelum beliau ingin memaksa rakyat. Jika beliau sendiri tidak mampu, apakah beliau mahu menyesatkan akidah rakyat awam yang akhirnya menyesatkan diri?” soalnya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.

Katanya, RUU yang Menteri Agama mahu laksanakan akan menjadikan keislaman seseorang di Wilayah Persekutuan tidak dianggap mencukupi sehinggalah individu itu menganut Ashairah, Maturidiyyah, bertasawuf dengan cara Junaid al-Baghdadi dan al-Ghazali.

“Jika tidak, muslim itu dianggap terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jamaah dan menganut ajaran sesat. Di sana ada akta ajaran sesat yang boleh dikenakan,” ujarnya.
Mohd Asri menambah, untuk mengikuti mazhab akidah seperti Ashairah dan Maturidiyyah, ia tidak memadai sekadar mengetahui nama pengasas dan beberapa isu teologi sahaja.

Sebaliknya ia perlu memahami perbahasan akidah berkaitan qidam, azali, jisim, jauhar, masa, tempat dan beberapa teori serta andaian hukum fizik yang pelbagai.

Asri berkata dia percaya sekurang-kurangnya 97 peratus orang Islam di negara ini tidak mampu memahami perbahasan akidah Ashairah dan Maturidiyyah.

“Apakah dengan RUU ini, maka era kafir mengkafir sesama umat akan bermula? Sesat menyesatkan akan menjadi agenda kerajaan? Rakyat akan diuji keabsahan akidah mereka?

“Atau mungkin selepas ini akan dicadangkan dimasukkan ke kad pengenalan, Agama: Islam Ashairah Maturidiyyah Junaid dan Ghazali. Apa yang saya lihat, ini isu sektarian yang disumbat kepada Kerajaan MADANI. Agenda orang lain yang ingin mengkultuskan yang cuba menggunakan undang-undang negara,” katanya lagi.

Mohd Asri sebelum ini mengajak Mohd Na’im tampil berdialog dengannya berhubung RUU itu selain meminta media rasmi kerajaan memberi ruang berkenaan secara terbuka agar rakyat menyaksikan cara menteri berkenaan mempertahankan ideanya.”

Oleh sebab ulasan saya terhadap titah DYMM Raja Perlis lebih ringkas, biarlah saya menyelesaikannya terlebih dahulu. Saya bersetuju bahawa perkara ini tidaklah patut dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk mendapat persetujuan atau sokongan kerana ia terletak di luar bidang kuasa Majlis itu. Ia mungkin akan menyebabkan perbezaan pendapat dan menampakkan perpecahan dalam Majlis itu, apatah lagi mengenai satu perkara yang terletak di luar bidang kuasa Majlis itu. – Lihat, antara lain, rencana-rencana saya bertajuk: Perpaduan Umah: Patutkah Raja-Raja Dilibatkan? (24 05 2016), Majlis Raja-Raja: Fungsinya Menurut Perlembagaan Persekutuan (19 09 2017) dan Tidak Sesuai Meletakkan Jakim Di Bawah Majlis Raja-Raja (18 03 2022).

Undang-undang yang hendak dibuat itu pula adalah sama seperti undang-undang negeri. Ia hanya terpakai di Wilayah Persekutuan. Ia perlu dibuat oleh Parlimen kerana Wilayah Persekutuan tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri.

Tidak ada keperluan bagi negeri-negeri yang hendak membuat undang-undang yang sama merujukkannya kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu. Demikianlah sebaliknya. Jika ada Raja-Raja yang tidak bersetuju, adakah ia akan ditarik balik? Adakah ia akan menghalang mana-mana negeri membuatnya, walaupun ia bukanlah halangan undang-undang?

Lagi pula, ini adalah isu ilmiah yang, dengan hormat, saya percaya, Raja-Raja tidak mempunyai pengetahuan yang cukup untuk membuat keputusan mengenainya.

Tetapi, jika ada Raja-Raja yang ingin mengetahui, Majlis Raja-Raja bolehlah menjemput mana-mana ilmuan untuk memberi taklimat mengenainya tanpa menghendaki Raja-Raia memberi pendapat, mengambil pendirian atau memberi persetujuan di akhirnya.

Sebelum membincang kritikan Mufti Perlis itu, eloklah saya perturunkan peruntukan berkenaan:

“Mufti dan Timbalan Mufti

3. (1) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri selepas berunding dengan Majlis, melantik seorang Mufti dan apa-apa bilangan Timbalan Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

(2) Seseorang itu layak menjadi Mufti atau Timbalan Mufti sekiranya—
(a) dia seorang warganegara Malaysia;
(b) dia seorang Ahli Sunah Waljamaah; dan
(c) dia mempunyai kepakaran dalam Hukum Syarak.

(3) Pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti hendaklah disiarkan dalam Warta.

(4) Bagi maksud seksyen ini, “Ahli Sunah Waljamaah” ertinya mana-mana orang yang berpegang dengan al-Quran dan Sunah—
(a) berkenaan dengan akidah, yang mengikut pegangan yang bersumberkan daripada
aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah;
(b) berkenaan dengan syariah, yang mengikut Mazhab Syafie atau dalam keadaan
tertentu mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali atau ijtihad
hukum yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa; dan
(c) berkenaan dengan tasawuf, yang mengikut pegangan yang dibawa oleh Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.”

Membaca kritikan Mufti Perlis itu dan peruntukan berkenaan yang saya telah perturunkan, adalah jelas Mufti itu telah tersasar keluar daripada konteksnya. Tafsiran “Ahli Sunah Waljamaah” dalam subseksyen (4) adalah untuk tujuan seksyen itu, iaitu seksyen 3 berkenaan pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti. Tajuk seksyen itu adalah “Mufti dan Timbalan Mufti”. Seksyen itu bermula dengan kata-kata “Bagi maksud seksyen ini…”

Selepas itu diikuti pula dengan tafsiran kata-kata “Ahli Sunah Waljamaah” itu. Ertinya syarat yang disebut dalam tafsiran itu hanya terpakai bagi pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti.

Ia bukanlah syarat keislaman seseorang yang tinggal di Wilayah Persekutuan. Maka, soal 97% penduduk Wilayah Persekutuan tidak mampu memahaminya tidak timbul langsung. Takkanlah mereka semua hendak menjadi Mufti atau Timbalan Mufti? Peruntukan itu bukan mengatakan seseorang yang tinggal di Wilayah Persekutuan hendaklah memenuhi syarat-syarat itu baru dia diterima sebagai seorang Islam. Bagaimana kelayakan menjadi Mufti dan Timbalan Mufti akan menyebabkan timbulnya masalah kafir mengkafir seperti di antara penyokong PAS terhadap penyokong UMNO dahulu? Mengapa syarat kelayakan Mufti dan Timbalan Mufti perlu dimasukkan ke dalam kad pengenalan penduduk Wilayah Persekutuan?

Sama ada syarat-syarat itu patut dijadikan syarat pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti dari persektif Syariah adalah soal lain. Saya tiada ilmu mengenainya dan tidak layak memberi pendapat mengenainya. Mufti Perlis yang mengaku mengetahuinya dengan mendalam patut mengemukakan hujah-hujahnya dari perspektif ini. Malangnya, beliau tidak berbuat demikian. Sebaliknya, beliau memilih untuk memperlekehkan pengetahuan Menteri Agama itu, hingga, antara lain, beliau sanggup berkata:

“Jika beliau benar, beliau dahululah buktikan beliau faham sebelum beliau ingin memaksa rakyat. Jika beliau sendiri tidak mampu, apakah beliau mahu menyesatkan akidah rakyat awam yang akhirnya menyesatkan diri?” soalnya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.

Itu bukan cara berhujah ilmiah. Hujah ilmiah hendaklah tertumpu kepada alasan-alasan yang menguatkan atau melemahkan sesuatu pendapat mengenai isu yang dibincangkan, bukan dengan menyerang peribadi orang berkenaan dan membuat tuduhan liar terhadapnya.

Adakah setiap kali seorang Menteri hendak membentang satu rang undang-undang, beliau perlu membuktikan kepada pakar-pakar dalam bidang berkenaan bahawa beliau lebih faham mengenainya daripada orang lain?

Katakanlah apa yang disebut dalam tafsiran itu patut dijadikan syarat pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti, dari segi gubalan, patutkah ia disebut dalam undang-undang? Dalam menggubal undang-undang, kita perlu waspada supaya tidak berkata terlalu banyak, nanti kita akan terjerat dengan perkataan kita sendiri.

Saya lebih memihak kepada tidak menyebutnya. Walaupun tidak disebut, ia boleh dilaksanakan. Biasanya kita tahu aliran pemikiran seseorang yang sudah cukup kanan untuk menjadi calon Mufti dan Timbalan Mufti. Dari awal mereka yang tidak dikehendaki boleh diketepikan. Bagaimana Dr. Maza dipilih menjadi Mufti Perlis? Tidak ada undang-undang yang menyatakan syaratnya. Tetapi, kita semua tahu pelantikannya selaras dengan apa yang dikehendaki daripada Mufti Perlis. Demikian jugalah sebaliknya di negeri-negeri lain.

Kedua, kita tidak dapat lari dari realiti bahawa undang-undang apa pun, termasuk Syariah, terutama sekali dalam bidang muamalat, akan berkembang dan membuat penyesuaian mengikut keadaan masa dan tempat. Setelah tinggal di Mesir selama beberapa tahun, Imam Shafie pun revise fatwa-fatwanya.

Kita hidup lebih daripada 1,000 tahun selepas kematian ulama-ulama itu. Bayangkan betapa terkejutnya Imam Shafie melihat jual-beli dilakukan di zaman in dibandingkan dengan di zaman Rasul Allah (S.A.W), malah di zaman beliau sendiri. Adakah beliau akan terus menghendaki penjual, pembeli dan barangan ada di tempat dan masa yang sama lagi?

Apatah lagi dalam perbankan dan kewangan Islam. Mufti-Mufti dengan kelulusan Syariah pun sudah tidak faham lagi, bukan tidak faham hukum mengenai riba dan lain-lain, tetapi tidak faham fakta untuk mengetahui hukum yang sesuai dikenakan kepadanya.

Sorang Mufti, berkelulusan Universiti Al-Azhar, dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Syariah di sebuah institusi kewangan. Selepas hadir mesyuarat sekali, beliau terus meletak jawatan atas alasan beliau tidak faham kerana tahap perbincagan terlalu tinggi. Usaha memujuk beliau menarik balik peletakan jawatannya gagal. Saya hormati pendirian beliau tetapi saya lebih suka jika beliau menunggu beberapa bulan untuk membuat keputusan itu.

Mufti Perlis itu tidak sepatutnya mencabar Menteri Agama berdailog dengannya. Walaupun laporan itu menggunakan perkataan “mengajak”, dibaca keseluruhan apa yang dikatakan oleh beliau, terutama sekali tuntutannya supaya “diberikan ruang secara terbuka disaksikan rakyat untuk bersoal-jawab dengan (Menteri Agama)”, ia jelas menunjukkan beliau hendak memperbodohkan Menteri Agama di khalayak ramai, bukan untuk mengemukakan pendapat dan hujah-hujah beliau untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan.

Menteri Agama adalah lantikan politik. Beliau tidak semestinya alim dalam semua bidang agama. Jika Mufti Perlis itu hendak berdialog, eloklah berdialog dengan Mufti-Mufti negeri lain yang menyokong cadangan itu.

Bagi saya, berdialog seperti yang dikehendaki oleh Mufti Perlis itu bukanlah cara yang sesuai untuk berbincang perkara ini. Dialog ini tiada bezanya dengan perbahasan yang bertujuan mencari siapa menang, bukan untuk berbincang dengan fikiran terbuka, mendengar pandangan dan hujah-hujah sebelah lagi, menimbang dengan saksama dan membuat keputusan yang adil tanpa mengira menang-kalah. Yang penting adalah mencari keputusan yang adil dan terbaik. Dialong sebagaimana yang dicadangkan oleh Mufti Perlis itu semestinya tidak akan menghasilkan keputusan yang terbaik dalam perkara ini. Ia tidak akan mengubah apa-apa. Kedua pihak akan mempertahankan pendirian masing-masing kerana takut kalah.

Kesimpulan

RUU Mufti itu bukanlah sesuatu yang baharu dan radikal. Kebanyakan peruntukannya telah menjadi amalan sekian lama tanpa menimbulkan apa-apa bantahan. Ia dikumpul dan diletakkan dalam satu Akta bersama-sama dengan amalan sekian lama untuk diperundangkan supaya lebih jelas dan mudah dirujuk.

Cuma ada satu perkara yang dibantah. Melihat dari segi gubalan, ia tidak perlu disebut kerana, selama ini, tanpa disebut pun itulah yang dilakulkan. Tetapi, manalah tahu, mungkin suatu hari, kita memerlukan seorang Mufti yang lebih terbuka fikirannya sesuai dengan perkembangan Syariah yang diperlukan, terutama sekali dalam muamalat, khususnya perbankan dan kewangan Islam dan takaful. Saya fikir, memadailah sekadar disebut “Ahli Sunah Waljamaah” tanpa memberi tafsirannya.

Dengan sedikit pindaan itu, proses memperundangkannya bolehlah diteruskan tanpa merujukkannya kepada Majlis Raja-Raja. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mufti Perlis tu dia merepek. Ini undang2 negeri utk Wilayah Persekutuan. Bukan untuk negeri lain termasuk Perlis! Kalau jahil tu tak payah lah nak sibuk cari populariti murahan. Dapat jawatan Prof. pun ikut pintu belakang, lagi banyak cakap. Org lain bermati-matian buat penyelidikan ilmiah, menyelia pelajar ijazah tinggi, mengajar kuliah soang malam, hempas pulas nak dapatka geran penyelidikan, konsultasi mcm2..ko duk ceramah dlm you tube dan tulis puisi jaa boleh jd Prof? Ni rakyat nak tau jua berapa banyak jurnal Scopus dan WoS yg ko publish? Cakap pasal hukum konon…haram ambil jawatan Prof ikut pintu blkg ko tak malu plak

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here