ROH di sebalik belanjawan 2025 adalah bagi membetulkan semula situasi kehidupan bagi pautan yang lemah di dalam negara.
Ekonomi negara semenjak melalui fasa pandemik dan ketidakstabilan politik sebelum ini, masih dapat dirasai oleh golongan berpendapatan rendah yang sedang berusaha keluar dari kemelut kesusahan kehidupan seharian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyifatkan antara rancangan perbelanjaan memberi keutamaan kepada inisiatif untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat, pengagihan hasil negara secara adil dan menyeluruh serta memperkukuh ekonomi.
Masalah jurang pendapatan antara kaum di Malaysia merupakan masalah besar negara dan rumit untuk diatasi. Taraf hidup, kuasa beli, kedudukan dalam masyarakat berbilang kaum, serta peluang dan keupayaan pendidikan menjadi penanda aras bagi kesejahteraan rakyat.
Persoalannya adalah bagaimana kerangka belanjawan 2025 akan mengatasi masalah teras negara?
Langkah penyasaran subsidi membawa lebih impak positif dari segi penerimaan rakyat sebelum ini.
Kita harus akui subsidi pukal tidak bersifat adil kepada rakyat Malaysia yang layak dan lebih memerlukan.
Apa yang penting adalah bagaimana pengelasan pendapatan rakyat yang akan diselaraskan bagi benar-benar mencapai objektif kerajaan.
Sudah tentu mekanisme ini harus diteliti dan menjadi tanggungjawab Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan pasukan beliau.
Pengurusan kewangan kerajaan hasil daripada penjimatan subsidi bersasar pula, harus membawa lebih faedah kepada negara.
Peruntukan perbelanjaan pembangunan lebih rendah daripada belanjawan terdahulu, jelas membuktikan pendirian kerajaan untuk mengurangkan pelaksanaan projek mega.
Jika sebelum ini kita sering menyebut masalah kepadatan akibat kekurangan sekolah-sekolah baru, amat melegakan melihat sektor pendidikan mendapat belanjawan paling besar sekitar RM65 bilion dan penambahbaikan sekolah serta pembinaan sekolah baharu termasuk sekolah taska dan prasekolah. Komitmen sedemikian memperlihatkan fokus kepada pembangunan modal insan.
Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan, tertinggi antara negeri masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.
Jurang pembangunan di kedua-dua buah negeri berbanding Semenanjung walaupun di bawah pentadbiran kerajaan yang selama berdekad sejak kemerdekaan, amat memilukan.
Hakikatnya adalah di bawah Perjanjian Malaysia 1963, masih banyak aspirasi kesaksamaan yang belum diterjemahkan sepenuhnya. Akhirnya, Belanjawan 2025 kali ini bersifat lebih adil kepada rakyat di Sarawak dan Sabah.
Peningkatan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 yang akan disalurkan kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak membangkitkan fokus keutamaan kerajaan.
Bantuan ini turut diberikan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen sebanyak RM250.
Manakala penerima SARA diperluas kepada 4.1 juta penerima, di mana penerima STR kategori isi rumah akan dikreditkan sebanyak RM100 sebulan bermula pada April 2025.
Satu kelaziman bagi kehidupan bermasyarakat untuk mengagihkan kekayaan secara saksama. Tanggunjawab setiap lapisan masyarakat adalah untuk membantu golongan pautan lemah manakala bagi sesebuah kerajaan untuk mentadbir bagi mengekalkan kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
Kita harus bermuhasabah diri dengan melihat struktur pencukaian negara sebagai contoh cukai jualan yang tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan rakyat.
Namun cukai jualan akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barangan premium yang diimport antaranya ikan salmon dan avocado.
Erti kata lain semua pihak bertanggungjawab memastikan tiada lagi rakyat Malaysia yang menanggung keperitan manakala golongan yang selama ini hidup terlebih selesa juga berperanan menjalankan tanggungjawab sebagai insan Madani dalam memartabatkan masyarakat.
Negara kita mungkin belum sempurna tetapi apakah salahnya untuk mencuba menyempurnakan masa di muka bumi ini untuk tidak bersikap pentingkan diri sendiri.
Oleh
Aidi Amin Yazid
Pengerusi Pertubuhan Jaringan Insan Madani