Kumarasan (kiri) menunjukkan minuman keras tanpa cukai yang dirampas dalam serbuan, selepas sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan dua lelaki dan merampas 214 karton arak seludup lebih RM98,000 dalam dua serbuan berasingan sekitar Gelang Patah, di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, menerusi dua serbuan pada 16 dan 17 Oktober, seorang lelaki tempatan serta seorang lelaki warga asing ditahan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, dalam serbuan pertama pukul 7.50 petang, pihaknya menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuhraya Tanjung Pelepas, Tanjung Kupang.

“Hasil pemeriksaan mendapati kereta itu dinaiki lelaki warga tempatan berusia 31 tahun dan terdapat pelbagai jenis minuman keras dipercayai tanpa cukai kastam dalam kenderaan itu.

“Kita kemudian merampas 188 karton arak dan sebuah Toyota Estima,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini, hari ini.

Katanya, suspek tempatan itu ditahan reman selama lima hari sehingga hari ini, dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan selanjutnya.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau jenayah dan dadah manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya.

Beliau berkata, operasi kedua di sebuah restoran di Tanjung Pelepas pukul 9.30 malam, pihaknya merampas 26 karton arak pelbagai jenis, juga dipercayai tiada cukai kastam.

“Kita menahan seorang warga asing yang juga pekerja restoran berkenaan berusia 31 tahun dan kini direman 10 hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Suspek katanya, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing suspek negatif dadah.

“Pemilik restoran iaitu seorang lelaki tempatan sedang dikesan untuk kita ambil tindakan,” katanya.

Kumar berkata, jumlah nilai rampasan arak dalam dua operasi itu adalah sebanyak RM98,579.82, manakala MPV yang disita dianggar bernilai RM20,000.

“Kita percaya arak-arak ini adalah bagi kegunaan di sekitar Kulai dan Wilayah Iskandar,” jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala warga asing turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here