Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan kegiatan sindiket along yang melakukan perbuatan simbah cat dan khianat dengan api di enam negeri selepas menahan empat ahli sindiket itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua lelaki berusia 23 hingga 28 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini, Kedah serta Perak pada Khamis lalu.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini menjalankan kegiatan pinjaman wang secara haram termasuk secara dalam talian, selain terlibat dalam jenayah khianat yang menyasarkan mangsa-mangsa mereka.

“Dalam serbuan tersebut polis merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk aktiviti pinjaman haram termasuk buku cek, buku catatan mengandungi senarai peminjam, empat telefon bimbit serta sebuah kereta jenis Honda City.

“Semakan ke atas telefon bimbit yang dirampas turut membawa kepada penemuan 24 rakaman video kejadian simbat cat dan khianat dengan api yang dirakam oleh suspek ketika melakukan jenayah tersebut di lokasi berasingan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek yang ditahan itu terlibat dalam 27 kes khianat simbah cat dan khianat dengan api yang berlaku di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 435 dan 436 akta sama serta Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

“Justeru kita menasihati orang ramai yang diganggu atau diugut oleh ah long agar segera membuat laporan bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here