Taktik penjualan rokok elektronik atau vape menyerupai peralatan alat tulis seperti pen berbentuk highlighter, gam dan pena penanda (marker pen) menerusi platform atas talian yang dikesan.

KUALA LUMPUR – Taktik penjualan rokok elektronik atau vape menyerupai peralatan alat tulis seperti pen berbentuk highlighter, gam dan pena penanda (marker pen) menerusi platform dalam talian dikesan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, ia merupakan taktik licik baharu dilakukan peniaga vape dengan menyasarkan pelajar sekolah selain menarik minat remaja dan kanak-kanak selain mengelirukan guru, ibu bapa dan penjaga.

“Kami berpandangan tindakan penjual terbabiy jelas melanggar beberapa undang-undang antaranya Akta Hak Cipta 1987, Akta Paten (Pindaan) 2022 serta Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan.

“MCPF melihat taktik penjualan vape dan rokok elektronik sebegini boleh mempengaruhi pelajar untuk membawanya ke sekolah tanpa sebarang kegusaran yang sekali gus akan meningkatkan tabiat tidak sihat dan memudaratkan di kalangan remaja dan kanak-kanak.

“Malah penjualan peranti ini secara terbuka dalam talian dan kedai barangan gajet memudahkan pelajar membelinya yang sekali gus menyukarkan pemantauan daripada pihak berwajib.

“Ia sekali gus akan merencatkan usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan remaja atau pelajar kepada rokok termasuk vape meskipun Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, MCPF juga mencadangkan Kementerian Kesihatan supaya merangka satu peraturan khusus penjualan produk merokok bagi mengekang peniaga menjual peranti vape dan rokok elektronik yang mampu menarik minat remaja dan kanak-kanak.

Mutakhir ini, pelbagai produk vape dan rokok elektronik dijual terutama dalam talian menyerupai alat tulis dengan tujuan menarik minat pelajar.

“Justeru itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup digesa untuk turut melakukan serbuan dan merampas ke atas peniaga memiliki dan menjual peranti merokok tersebut yang menggunakan label mengelirukan itu,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here