Pembantu peniaga pasar malam didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal

JOHOR BAHRU – Pembantu peniaga pasar malam didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Rahmat Abdullah, 20, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Rahmat didapati melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun tujuh bulan dengan meramas buah dada dan menggosok kemaluannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di kediaman di Kampung Tampok Darat, Benut, Pontian, kira-kira pukul 2 pagi pada 29 Jun lalu.

Pendakwaan dibuat dibawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman denda, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh diwakili Peguam, Nurhazneena Zureen Jaesleen Mohamad Hanafiah.

Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah jumlah jaminan berjumlah RM15,000 dengan seorang penjamin beserta tiga syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan, lapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Nurhazneena Zureen Jaesleen memohon jumlah jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya tiada pendapatan tetap dan hanya bekerja sebagai pembantu peniaga pasar malam dengan bayaran upah RM200 hingga RM300 sahaja.

“OKT (orang kena tuduh) yang juga anak bongsu daripada dua beradik ini menyara ibunya yang juga ibu tunggal berusia 72 tahun. Ibunya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi yang memerlukan ubat secara berkala,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dengan tiga syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan, lapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen pada 24 November ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here