Yusri mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak perempuan, tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM7,000 terhadap pengawal keselamatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak perempuan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Yusri Jaafar, 46 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan itu, Yusri didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia tujuh tahun dengan menyuruh mangsa menghisap kemaluannya dan menggosok kemaluan mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pukul 12 tengah hari sehingga dua petang di sebuah rumah di Jalan Gangsa, Peringkat 1, Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang di sini, pada 15 Februari 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 kanun keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh diwakili peguam Jamian Dolah.

Jamian memohon agar Mahkamah mempertimbangkan faktor kesihatan anak guamnya yang menghidap sakit jantung yang memerlukan rawatan secara berkala di hospital.

Katanya, Yusri juga turut menanggung isteri dan empat anaknya berusia tujuh hingga 24 tahun dengan pendapatan sebagai pengawal keselamatan sebanyak RM1,800 sebulan.

Dalam pada itu, Nur Farah Wahida memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sesuai dengan kesalahan yang dilakukan.

“Hukuman tersebut perlu mengambil kira faktor usia mangsa sewaktu kejadian iaitu berusia tujuh tahun selain mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi tertuduh,” ujarnya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM7,000 tertuduh, jika tidak bayar empat bulan penjara. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here