Anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Muhammad, Ummu Atiyah tiba untuk menunjukkan lokasi dia didakwa dikurung kira-kira sebulan di perkampungan Global Ikhwan Services and Businesses Holdings (GISBH) bagi membantu siasatan polis di Kampung Batu Hampar Dalam, Batu Hampar, Beruas. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 OKTOBER 2024.

JERANTUT – Polis sudah mengenal pasti empat lelaki bagi membantu siasatan kes anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Muhammad, Ummu Atiyah yang mendakwa dikurung di penempatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Batu Hampar, Perak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya kini sedang mengesan empat individu berkenaan, yang berusia lebih 20 tahun.

“Siasatan masih dijalankan, kalau sesetengah orang cakap kita (polis) tergesa-gesa tangkap, tidak… kita akan panggil bagi kenyataan dahulu sebelum tindakan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Taman Negara, di sini hari ini.

Razarudin sebelum ini dilapor berkata mangsa mendakwa dikurung di dalam sebuah bilik di rumah setingkat kira-kira sebulan yang hanya dilengkapi tilam, almari dan kemudahan elektrik, serta tidak diberi kebenaran menggunakan telefon bimbit oleh empat lelaki yang juga pengikut GISBH.

Semalam polis turut membawa Ummu Atiyah ke lokasi beliau mendakwa dikurung di Batu Hampar, Perak untuk tujuan pengecaman.

Razarudin berkata beliau tidak menolak kemungkinan terdapat lagi individu yang mengalami gangguan seksual daripada pengikut GISBH dan meminta mangsa supaya tampil membuat laporan polis.

Sementara itu, beliau berkata inisiatif Kerajaan MADANI mewujudkan program rehabilitasi menerusi Majlis Keselamatan Negara, ialah peluang terbaik bagi ahli GISBH yang tersasar untuk memulihkan diri sendiri. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here