Warga emas maut manakala isterinya cedera selepas kereta dipandu terbabas selepas melanggar penghadang besi bahu jalan dalam kejadian di Jalan Persiaran menghala ke USJ 2, Subang Jaya pada 21 Oktober 2024. Ihsan IPD Subang Jaya.

SUBANG – Seorang warga emas maut manakala isterinya cedera selepas kerana tersepit selepas kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Persiaran, Subang Jaya hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan maut itu pukul 10.43 pagi.

“Siasatan di lokasi mendapati semasa kejadian kereta jenis Toyota Altis yang dipandu seorang warga emas  berusia 76 tahun itu bersama isterinya sedang dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke USJ 2.

“Sejurus tiba di Jalan Persiaran, kenderaan yang dipandu dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar besi penghadang jalan di bahu kiri jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Wan Azlan, rentetan daripada perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik.

“Manakala isteri mangsa yang berusia 74 tahun pula tersepit dengan kecederaan ringan di dalam kenderaan tersebut sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba.

“Mangsa diselamatkan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut manakala mayat suaminya dihantar ke hospital sama bagi tujuan proses bedah siasatan untuk menentukan punca kematian,” katanya.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut di lokasi bagi mengenal pasti punca kemalangan berlaku di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat mengenai insiden itu diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ngo Su Siao di talian 016-923 1558. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here