Dong Zong

PETALING JAYA – Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah mengadakan pertemuan buat pertama kalinya dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Mereka membincangkan pelbagai isu yang diberi perhatian oleh masyarakat Cina. Antaranya, masalah kekurangan guru di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) dan isu berkenaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee berkata, pihaknya sangat berpuas hati dengan pertemuan itu, sambil menggambarkan Fadhlina sebagai pemimpin yang bersifat terbuka dan ikhlas.

“Kami memberitahu menteri bahawa sudah lama mahu berjumpa tetapi tiada kesempatan.

“Mungkin menteri pernah dengar cakap sesetengah orang yang berpendapat kami orang jahat, sebenarnya kami tidak jahat,” katanya kepada Sinchew Daily.

Lek Aee berkata, pihaknya sebaliknya berusaha memperjuangkan kepentingan pendidikan dan membantu Kementerian Pendidikan dalam pelbagai aspek.

Katanya, walaupun menyimpan 1,001 soalan, tetapi hanya tiga isu diutarakan dalam perbincangan dengan Fadhlina.

“Pertama, kami meminta kementerian menghentikan rancangan untuk menukar cikgu-cikgu berpengalaman. Kedua, kami nyatakan tidak bersetuju dengan penyelarasan silabus subjek Bahasa Melayu untuk sekolah kebangsaan dan SRJKC.

“Ketiga, kami meminta perhatian diberikan kepada masalah kekurangan cikgu di SRJKC,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Datuk Tan Yew Sing berkata, pihaknya telah menyampaikan pendapat mengenai isu pengiktirafan UEC.

Beliau berkata, pertemuan dengan menteri dijalankan dalam suasana yang harmoni dan baik.

Menurutnya, Dong Zong berharap pertemuan itu merupakan permulaan kepada lebih banyak program seumpama.

Fadhlina mendengar pendapat-pendapat yang diberikan dan mencatatkan nota. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here