KUALA LUMPUR – Pengeluaran buah tandan segar (BTS) dalam negara menunjukkan trend peningkatan sepanjang tiga tahun.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, dalam masa sama pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) juga meningkat sejak 2021 hingga tahun lalu.
Jelas beliau, peningkatan ini adalah hasil daripada komitmen kementerian berkenaan melaksanakan pelbagai inisiatif demi meningkatkan produktiviti bagi memastikan industri sawit kekal berdaya saing dan terus menyumbang kepada keperluan negara.
“Pada tahun 2021, pengeluaran BTS adalah sebanyak 91.39 juta tan, meningkat kepada 94.8 juta tan pada tahun 2022 dan 94.9 juta tan pada tahun 2023.
“Pengeluaran MSM juga meningkat daripada 18.12 juta tan pada tahun 2021 kepada 18.45 juta tan pada tahun 2022 dan 18.55 juta tan pada tahun 2023,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu).
Beliau meminta Kementerian Perladangan dan Komoditi menyatakan langkah strategik untuk meningkatkan hasil komoditi sawit memandangkan penurunan pengeluaran semasa yang semakin menyusut dikhuatiri meletakkan industri sawit senasib dengan getah yang tidak lagi mampu menampung keperluan negara.
Mengulas lanjut Chan berkata, Program Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil 2.0 (TSPKS 2.0) merupakan antara inisiatif utama kementerian itu meningkatkan pengeluarannya menerusi dengan peruntukan Belanjawan 2024 sebanyak RM100 juta.
Ujarnya, program itu disediakan khusus untuk pekebun kecil persendirian (PKP) yang layak dan telah menerima sambutan yang baik.
“Bantuan kerajaan ini disediakan dalam bentuk hibrid iaitu 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman serta telah dilaksanakan bermula pada 15 Januari 2024.
“Usaha ini dijangka dapat meningkatkan populasi pokok sawit yang berprofil umur matang penuh (9 ingga 18 tahun) dan lebih produktif untuk jangka masa panjang, seterusnya membantu meningkatkan produktiviti hasil BTS negara serta meningkatkan pendapatan PKP, sekaligus mengukuhkan sektor komoditi sawit dalam menghadapi cabaran ekonomi amnya,” katanya.
Tambahnya, ia diteruskan dengan peruntukan RM100 juta pada tahun depan seperti yang diumum ketika pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette