Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di mahkamah bagi pendegaran permohonan rayuan mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 21 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Prosiding pendengaran rayuan Datin Rosmah Mansor terhadap sabitan, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta bagi kes rasuah solar hibrid RM1.25 bilion yang sepatutnya didengari selama dua sejak semalam ditangguhkan Mahkamah Rayuan.

Difahamkan melalui peguam mewakili Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader, pihaknya telah memohon penangguhan untuk kes ini.

Berikutan penangguhan itu, mahkamah telah menetapkan tarikh pengurusan kes yang baharu pada 7 November kelak.

Sebelum ini, Akberdin pernah memohon pihaknya mahu mahkamah mendengar terlebih dahulu rayuan Rosmah berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan hakim itu daripada mendengar kesnya.

Permohonan untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini dibuat dua hari sebelum keputusan dijangka diumumkan berdasarkan alasan kononnya penghakiman kes didakwa bocor.

Akberdin juga sebelum memaklumkan pihaknya telah memfailkan hujahan setebal 700 muka surat untuk rayuan itu.

Pada 1 September lalu, Hakim Mohamed Zaini memutuskan bahawa Rosmah isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 72, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun. Dia juga didenda RM970 juta dan jika Rosmah gagal membayar denda itu, dia boleh dihukum penjara 30 tahun.

Dia didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan Rosmah penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here