Dong Zong

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek diminta tidak tunduk kepada sebarang tekanan daripada Dong Zong atau mana-mana persatuan yang sejak merdeka bersikap angkuh dan sombong dengan Kementerian Pendidikan.

Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani mendakwa, berdasarkan rekodnya Dong Zong tidak pernah bersetuju dengan sebarang arahan rasmi kementerian terutama berkaitan dengan bahasa penghantar bahasa rasmi negara ini, dan kurikulum kebangsaan yang bersandarkan Falsafah Pendidikan Negara.

Bahkan, pelbagai perkara dan usaha pihak kementerian selama ini ditentang keras demi kepentingan yang sempit berbanding dengan semangat perpaduan rakyat dan satu keluarga Malaysia seluruhnya.

Dong Zong juga didakwa selalu campur tangan walaupun berkaitan urusan pentadbiran kementerian termasuk kurikulum dan ini tidak wajar dibiarkan.

Oleh itu, katanya, kementerian tidak perlu melayan segala karenah Dong Zong kerana mereka tidak akan pernah puas hati sampai bila-bila selagi semua hajat tidak dipenuhi.

Kamal Shukri mendakwa, Dong Zong dengan angkuhnya menolak penempatan guru-guru Melayu walaupun fasih berbahasa Mandarin untuk ditempatkan di sekolah mereka.

“Kemungkinan besarnya dibimbangi guru yang ditempatkan itu akhirnya tiba masa akan menjadi guru besar, ketua jabatan di situ walaupun guru dalam kalangan mereka tidak ditolak oleh pihak lain untuk memegang jawatan kanan seperti guru besar dan lain-lain.

“Mereka juga pernah menolak guru daripada keturunan sama jika tidak fasih Mandarin. Begitulah tebalnya kesombongan mereka. Keadaannya sama juga dengan kurikulum Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang tidak berorientasikan kurikulum kebangsaan seperti semua sekolah lain di Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan, di sini.

Sedangkan di Malaysia, semua anak patut dicanai dengan acuan sama untuk menghasilkan insan berjati diri dan berkiblatkan Malaysia, bukan negara lain.

Sehingga subjek sejarah negara ini dan pendidikan jasmani pun tidak mahu dipelajari dalam bahasa Melayu.

Akhirnya banyak kajian yang telah dibuat walaupun tamat enam tahun persekolahan, gagal menguasai bahasa Melayu yang mudah berbanding warga Bangladesh yang baru tiga bulan di sini, ujarnya.

Lantaran itu, Kamal Shukri berkata, Fadhlina wajar menolak usul pengiktirafan UEC yang tiada piawaian pengiktirafan oleh badan bertauliah seperti peperiksaan oleh KPM iaitu Penilaian Tingkatan 3, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

“Sebuah buku khas “Tolak UEC: Perosak Sistem Kebangsaan” dengan berpuluh hujah telahpun kami sampaikan kepada Menteri Pendidikan dan juga Perdana Menteri beberapa bulan yang lalu.

“Usaha kementerian memperkenal khat dan tulisan jawi yang juga sebenarnya merupakan satu bentuk tulisan bahasa Melayu yang asal dan bersejarah juga ditolak mentah-mentah dengan kerasnya. Tulisan khat jawi umpama kaligrafi dalam tulisan Cina.

“Sesiapa pun termasuk orang Melayu tidak wajar menolak kaligrafi jika berpeluang belajar. Adakah dibimbangi kerana ada yang mengaitkan tulisan jawi dengan Islam? Sebenarnya tiada asas langsung kebimbangan itu seperti mana tulisan rumi juga banyak digunakan dalam penulisan pelbagai kitab agama lain yang tidak pula dibimbangkan. Malah kitab agama Islam juga banyak ditulis rumi dan melalui bahasa Inggeris. Sepatutnya tulisan rumi dan bahasa Inggeris juga perlu dirisaukan?.

“Bahasa Inggeris juga bukannya bahasa ibunda majoriti rakyat Malaysia termasuk bagi bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain. Tentang bahasa Inggeris pula tidak pernah ditimbulkan langsung sebarang kegusaran walaupun bukan bahasa ibunda, tahapnya berbeza dan macam-macam lagi. Program DLP bahasa Inggeris sanggup diterima sedangkan DLP dalam bahasa Melayu ditentang keras,” ujar beliau lagi.

Baru-baru ini, Dong Zong mengadakan pertemuan dengan Fadhlina dalam usaha mendapat pengikitirafan untuk UEC dan mengekalkan bahasa Cina sebagai bahasa utama kurikulum SJKC.

Menurut Fadhlina, pertemuan yang diadakan bagi membincangkan penempatan semula guru, penyelarasan kurikulum bahasa Melayu untuk SJK Cina dan Tamil, kekurangan guru, perpindahan sekolah dan isu guru ganti. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here