Mohd Hafiz didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Prosiding Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini kecoh seketika apabila seorang pendawai elektrik mengeluarkan kata kesat susulan tidak puas hati dengan pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Bagaimanpun, Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi mengarahkan polis bertugas membawa tertuduh keluar dengan kadar segera atas faktor mengganggu prosiding mahkamah.

Terdahulu, Mohd Hafiz Abidin, 38, mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret tersebut atas dua pertuduhan iaitu melakukan khianat dan mendatangkan kecederaan dalam dua kejadian berasingan pada September dan Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan perbuatan khianat dengan menumbuk cermin bahagian hadapan sebuah kereta jenis Honda BR-V milik seorang lelaki berusia 37 tahun sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM1,570.50.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 beserta seorang penjamin.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan pejabat Agensi Pertahanan Awam (APM) di Lebuh Peel, di sini, jam 2.30 petang pada 17 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Hafiz didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seorang lelaki berusia 35 tahun dengan menumbuk mukanya di tepi Jalan Kimberley, di sini, jam 6.30 petang pada 12 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, selepas pertuduhan kedua dibacakan tertuduh tiba-tiba memaklumkan kepada mahkamah dia tidak bertindak sedemikian sebelum mengeluarkan kata kesat.

Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini menawarkan jaminan sebanyak RM9,000 bagi kedua-dua pertuduhan beserta syarat tambahan dilarang ganggu saksi pendakwaan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan minima atas alasan pendapatan tertuduh RM35 sehari selain perlu menjaga ibu serta kakak berstatus orang kelainan upaya (OKU).

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dimohon Timbalan Pendakwa Raya.

Kes akan disebut semula untuk lantikan peguamnya dan serahan dokumen pada 21 November depan.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki tular pandu kereta melulu positif dadah

MalaysiaGazette pada 19 Oktober lalu melaporkan pemandu kereta jenis Proton Wira yang tular memandu secara berbahaya di bandar raya ini telah diberkas polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, suspek berusia 39 tahun yang berasal dari Ayer Itam itu ditahan di Jalan Dato Keramat jam 7.30 malam, pada 17 Oktober lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here