Polis Kontinjen Selangor bersama pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita pusat perniagaan yang sebahagian besarnya dimiliki oleh rangkaian GISBH dalam serbuan yang dibuat pada jam 6.30 pagi ketika di Bandar Country Homes, Rawang. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memantau secara dekat lapan ajaran sesat di seluruh negara termasuk membuat risikan terhadap 12 lagi ajaran.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan  berkata,  kerajaan telah mengaktifkan semula Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS) sebagai langkah menangani ajaran sesat di negara ini.

“Bukan GISB Holdings (GISBH) saja yang akan kita berikan tumpuan. Kita juga sedang memantau beberapa ajaran yang berpotensi untuk ada kesesatan, kita pantau secara dekat dengan kerjasama secara agensi,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias (Barisan Nasional), mengenai tindakan lanjut kerajaan tentang operasi menamatkan isu akidah dalam negara.

Beliau turut bertanyakan sama ada kerajaan bercadang mewujudkan undang-undang khusus untuk membendung gejala seperti Al-Arqam daripada berterusan pada masa akan datang.

Menjawab soalan berkenaan, Zulkifli berkata, ia memerlukan kajian yang menyeluruh berikutan setakat ini terdapat agensi dan jabatan yang mempunyai bidang kuasa masing-masing.

“Strategi dan tindakan sudah dilakukan. Bagi keperluan (mengadakan) undang-undang (khusus), ia memerlukan kajian dengan lebih mendalam supaya segala inisiatif yang dilakukan mengambil kira dapatan menyeluruh,” katanya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali bersama 21 yang lain, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Turut didakwa ialah isteri Nasiruddin iaitu Datin Azura Md Yusof Hasnan, 57; dan anak bekas pengasas Al Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi, 32.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here