Dr. Muhammad Irhammudin Ibrahim

KUALA LUMPUR – “Saya bercita-cita untuk melihat industri halal berkembang secara global, dengan pematuhan yang lebih kuat terhadap standard antarabangsa dan pengiktirafan yang lebih luas terhadap pensijilan halal”.

Itulah harapan anak Malaysia Dr. Muhammad Irhammudin Ibrahim, 34 tahun yang kini bertugas sebagai Auditor Halal di Badan Pensijilan Halal Antarabangsa Eropah yang berpusat di Belgium.

Irhammudin, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Makanan di Universiti Sains Islam Malaysia telah berkecimpung dengan industri halal sejak 2012.

“Di sini saya bertanggungjawab menjalankan audit pematuhan halal secara terperinci, menyediakan laporan yang komprehensif, dan memantau tindakan pembetulan. Saya telah berkhidmat dalam pelbagai industri seperti tenusu, konfeksi, biofermentasi, dan produk hasilan ternakan di negara-negara seperti Republik Czech, Belanda, Sepanyol, Jerman, dan Belgium.

“Selain menjalankan tugas audit, saya turut berinteraksi dengan pihak berkepentingan untuk memberi panduan dalam mencapai piawaian pensijilan halal, berdasarkan standard yang diiktiraf antarabangsa seperti OIC/SMIIC, UAE.S 2055-1:2015, dan GSO 2055-1/2015”, katanya.

Menurut Irhammudin, beliau perlu memastikan organisasi yang diaudit bukan sahaja memenuhi keperluan halal tempatan, tetapi juga mematuhi piawaian global.

Di samping tugas audit, beliau menyumbang dalam mesyuarat jawatankuasa pensijilan dan pembangunan dasar dengan berkongsi pandangan hasil audit lapangan serta bekerjasama dalam menangani kes-kes yang rumit.

Sebagai Koordinator Latihan di Akademi Halal Eropah, beliau turut merancang dan memimpin program latihan untuk industri di Eropah dan Asia Tenggara.

Irhammudin sebelum ini mempunyai pengalaman tujuh tahun sebagai pengajar halal di Kolej Profesional Baitulmal, Kuala Lumpur.

Sebagai Pegawai Perhubungan Pensijilan Halal bagi Asia Tenggara, beliau turut mewakili Badan Pensijilan Halal Antarabangsa Eropah dalam berurusan dengan agensi pensijilan halal utama di Asia Tenggara seperti JAKIM (Malaysia) dan BPJPH (Indonesia).

Fokus beliau mempromosikan pematuhan dan mengukuhkan hubungan antara pihak berkepentingan dalam industri halal di rantau ini.

“Saya bercita-cita untuk melihat industri halal berkembang secara global, dengan pematuhan yang lebih kuat terhadap standard antarabangsa dan pengiktirafan yang lebih luas terhadap pensijilan halal.

“Melalui kerjasama, inovasi, dan penambahbaikan berterusan, saya berharap dapat menyumbang kepada ekosistem halal yang lebih telus, efisien, dan inklusif yang memberi manfaat kepada pengguna, pengeluar, dan pihak berkepentingan di seluruh dunia,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here