MAHASISWA pada hari ini berdepan dengan arus alam pekerjaan yang semakin mencabar dan kompleks. Dalam era digitalisasi dan globalisasi, majikan tidak lagi meletakkan tingkat akademik sebagai satu-satunya penanda aras kecemerlangan. Sebaliknya, mereka menilai kemahiran teknikal, insaniah, kepimpinan serta kemampuan untuk bertahan dalam persekitaran kerja yang lebih dinamik. Oleh yang demikian, mahasiswa perlu mengambil langkah proaktif untuk mempersiapkan diri secara menyeluruh agar dapat bersaing dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.
Secara analoginya, proses mencari pekerjaan ini ibarat membina sebuah rumah. Ijazah yang diperoleh dari universiti adalah asas kepada rumah tersebut, namun asas sahaja tidak mencukupi untuk memastikan rumah itu berdiri teguh dan kukuh. Ia memerlukan dinding, bumbung, pintu dan tingkap. Semua ini mewakili kemahiran dan pengalaman tambahan yang diperlukan oleh mahasiswa untuk berjaya dalam dunia pekerjaan. Tanpa dinding yang kukuh, iaitu kemahiran teknikal dan tanpa bumbung yang baik, yakni kemahiran insaniah, rumah tersebut mungkin tidak mampu bertahan dalam jangka masa panjang. Apa yang lebih penting, rumah ini perlu dipasak dengan jati diri dan keazaman mahasiswa agar ia mampu bertahan lama.
Dewasa ini, kemahiran teknikal terutamanya yang berkaitan dengan teknologi digital menjadi sangat penting dalam kebanyakan industri. Kewujudan revolusi Industri 4.0 telah mempercepatkan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, analitik data dan automasi. Mahasiswa yang tidak mempunyai kemahiran ini mungkin mendapati diri mereka tercicir dan terpinggir. Oleh itu, mahasiswa perlu secara aktif mencari peluang untuk mempelajari teknologi baharu melalui kursus-kursus dalam talian, kursus pensijilan profesional, penyelidikan atau latihan industri. Kemahiran teknikal yang mantap disulami dengan teknologi semasa membolehkan mereka menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja yang semakin canggih dan kompleks.
Selain kemahiran teknikal, kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, kerja secara berpasukan dan penyelesaian masalah secara kreatif (di luar kotak) menjadi semakin penting. Pembelajaran kemahiran insaniah ini tidak terbatas di bilik kuliah. Mahasiswa boleh memperkukuh kemahiran ini dengan melibatkan diri secara aktif dalam persatuan dan kelab pelajar. Melalui penglibatan dalam persatuan pelajar, mereka berpeluang untuk mula mengambil peranan dalam kepimpinan, merancang acara dan bekerja secara berpasukan. Ini membolehkan mereka membina kemahiran komunikasi dan kepimpinan, yang menjadi bumbung untuk melindungi rumah mereka daripada pelbagai cabaran alam pekerjaan.
Salah satu cara paling awal dan mudah untuk mahasiswa mempersiapkan diri adalah dengan menyertai lawatan industri yang dianjurkan oleh universiti atau organisasi luar. Melalui lawatan ini, mahasiswa mendapat pendedahan secara langsung terhadap dunia sebenar pekerjaan serta cabaran yang dihadapi oleh industri. Program sebegini memberi peluang untuk mereka memahami harapan majikan (memenuhi permintaan industri), mengenal pasti kemahiran yang diperlukan dan membina jaringan dengan profesional dari industri. Lawatan industri tidak hanya membuka mata mahasiswa kepada realiti pasaran kerja, tetapi juga menyediakan platform awal untuk mahasiswa membina hubungan yang boleh dimanfaatkan apabila memasuki alam pekerjaan kelak.
Selain kemahiran teknikal, kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, kerja secara berpasukan dan penyelesaian masalah secara kreatif (di luar kotak) menjadi semakin penting. Pembelajaran kemahiran insaniah ini tidak terbatas di bilik kuliah. Mahasiswa boleh memperkukuh kemahiran ini dengan melibatkan diri secara aktif dalam persatuan dan kelab pelajar. Melalui penglibatan dalam persatuan pelajar, mereka berpeluang untuk mula mengambil peranan dalam kepimpinan, merancang acara dan bekerja secara berpasukan. Ini membolehkan mereka membina kemahiran komunikasi dan kepimpinan, yang menjadi bumbung untuk melindungi rumah mereka daripada pelbagai cabaran alam pekerjaan.
Mahasiswa perlu menyedari bahawa pembelajaran tidak berhenti selepas tamat pengajian. Dunia pekerjaan yang sentiasa berubah-ubah memerlukan pembelajaran sepanjang hayat. Kemahiran yang relevan hari ini mungkin tidak lagi relevan pada masa akan datang kerana teknologi dan kaedah kerja akan terus berevolusi. Mahasiswa harus mempunyai sikap ingin belajar dan sentiasa peka kepada peluang untuk meningkatkan diri sama ada melalui kursus tambahan, pembelajaran kendiri atau pembangunan profesional berterusan. Sikap pembelajaran sepanjang hayat ini memastikan mereka kekal relevan dan kompetitif dalam pasaran kerja yang sentiasa berubah, berbanding mahasiswa yang bersifat pasif.
Secara deduksinya, membina sebuah ‘rumah’ yang kukuh untuk menghadapi cabaran alam pekerjaan memerlukan lebih daripada sekadar sekeping ijazah akademik. Mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan kemahiran teknikal, insaniah dan mental melalui penglibatan aktif dalam kursus, kelab pelajar, persatuan dan aktiviti sukarelawan. Melalui persiapan yang menyeluruh ini, mereka akan lebih bersedia untuk menempuh dunia pekerjaan yang semakin kompleks dan dinamik. Di samping itu, mahasiswa harus terus menjadi seorang yang dahaga akan pembelajaran sepanjang hayat demi memastikan ‘rumah’ yang dibina kekal kukuh, utuh dan relevan dalam menghadapi perubahan persekitaran kerja yang sentiasa berevolusi dengan kadar yang sangat pantas. Jika semua aspek ini dipenuhi, nescaya ‘rumah’ ini tidak mudah dibinasakan.
Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin
Pensyarah Kanan
Panel Analitik Data Komputasi
Jabatan Matematik dan Statistik
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) &
Dr. Emy Aizat bin Azimi
Pengurus Komunikasi Korporat
Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia