Pasukan Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa keluar sebanyak tiga kotak dokumen dipercayai berkaitan isu Hrd Corp di Wisma HRD Corp, Bukit Damansara. Foto SYADILA AMARI, 09 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin (Barisan Nasional) menggesa supaya kertas putih siasatan terhadap Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dibentangkan di Dewan Rakyat.

Katanya, ini kerana semua Ahli Parlimen ingin mengetahui hasil siasatan jawatankuasa tersebut dan tindakan selanjutnya daripada kerajaan.

“Kenapa tidak ada tindakan drastik dan saya tahu bahawa pihak PAC sedang menyiasat perkara ini tetapi saya meminta PAC siasat betul-betul dan kemukakanlah kertas putih kepada kita, kita mahu lihat apa sebenarnya yang dilakukan,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025.

Pada 12 Oktober yang lalu, PAC dilaporkan akan memanggil Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada minggu kedua mesyuarat ketiga, Persidangan Ketiga Parlimen bagi mendapatkan maklum balas berhubung dapatan hasil audit bebas terhadap HRD Corp.

Ia susulan pendedahan jawatankuasa itu bahawa RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Terdahulu, KESUMA pada 10 Julai lalu berkata akan melantik juruaudit profesional sebagai pihak ketiga bagi melakukan audit bebas ke atas HRD Corp bagi memastikan ketelusan dalam proses berkenaan.

Selain itu, Bung Moktar dalam masa yang sama berkata kerajaan tidak perlu bergantung dengan HRD Corp untuk menjalankan latihan kepada pekerja.

Sebaliknya beliau mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan agensi kerajaan yang bertanggungjawab melatih pekerja.

Beliau berpendirian HRD Corp tidak wajar diberikan sepenuhnya kuasa untuk melaksanakan program latihan pekerja sekaligus mengawal selia peruntukan yang besar daripada kerajaan.

“HRD Corp ini saya rasa sudah tidak sesuai untuk kerajaan meletakkan tanggungjawab ia melatih pekerja-pekerja syarikat. Sebab HRD Corp terlalu memainkan peranan penting, berkuasa sepenuhnya, berapa ratus ribu kan boleh dikeluarkan suka hati

“Betul (HRD Corp) selia tapi ia masih swasta, dan memegang duit berbilion billion saya pun curiga dengan perkara ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (DAP) mempertikaikan kemunculan semula Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Hameed Dawood selepas mengumumkan dirinya bercuti pada pertengahan Julai lalu berikutan siasatan susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas syarikat berkenaan.

“Saya sekarang mendengar cerita yang amat membimbangkan, kononnya beliau telah diminta untuk Kembali bertugas. Apa yang berlaku?

“Kita telah membahaskan perkara ini di Parlimen, kita telah minta supaya Tindakan diambil terhadap pihak yang terlibat, SPRM telah melakukan serbuan ke HRD Corp. Tiba-tiba pegawai yang terlibat diminta untuk kembali bertugas,” katanya.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here