Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bapa kepada seorang individu yang melakukan serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor mengaku tidak salah atas tiga pertuduhan berkaitan aktiviti keganasan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, juga dikaitkan dengan kegiatan keganasan berbai’ah pemimpin kumpulan pengganas, Abu Bakar al-Baghdadi.

Anak perempuan Radin, Farhah Sobrina, 23, turut mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan atas satu pertuduhan di hadapan Hakim Azhar Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Radin didakwa menggalakkan aktiviti pengganas Daesh dengan cara menanam ideologi keganasan kepada tiga individu termasuk isterinya, Rosna Jantan dan empat anaknya iaitu Radin Luqman, Radin Romyullah, 34, Farhah Sobrina, dan Mariah, 19.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara 2014 dan 17 Mei lepas yang jika sabit salah mengikut Seksyen 130JG(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Pertuduhan kedua dan ketiga dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(b) dan Seksyen 130J(1)(a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda.

Manakala anaknya, Farhah, berdepan pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan kesalahan-kesalahan berkaitan Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130G(a), jika sabit salah mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim menetapkan 15 November depan bagi pengurusan kes. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here