SELAYANG – Hanya satu pertuduhan sahaja yang dikenakan terhadap 22 ahli termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd, Datuk Nasiruddin Mohd Ali di Mahkamah Sesyen di sini berbanding 10 Akta yang disiasat Bukit Aman sebelum ini.

Peguam, Datuk Rosli Kamaruddin berkata, beliau berharap tiada lagi pertuduhan yang akan dikenakan terhadap anak guamnya itu.

“Sekarang pun hanya ada satu pertuduhan, kita pun tak tahu akan ada pertuduhan lain, kerana polis menyiasat.

“Kalau awak ingat apa Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kata, mereka sedang menyiasat mengikut 10 akta.

“Hari ini kita dapati hanya ada satu pertuduhan, kita belum dapat lagi melihat adakah pertuduhan di bawah Atipsom, kita juga belum melihat adakah pertuduhan di bawah akta seksual kanak-kanak terhadap 22 suspek ini.

“Kita harap tidak, tetapi kalau ada pertuduhan lagi, kita akan uruskannya, itu adalah kuasa Peguam Negara untuk menuduh selepas menimbang,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

Terdahulu Rosli bersama pasukan pembelaan mewakili 22 individu termasuk CEO GISBH yang didakwa mengikut Akta 130V (1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen, di sini, pagi tadi.

Antara pasukan pembelaan ialah Muhammad Zaim Rosli, M.Hafiz Zainol Abidin, Boestamam Ahmad dan Dorina Abdullah.

Mengikut pertuduhan, kesemua 13 lelaki dan sembilan wanita itu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Dalam pada itu, Rosli juga berkata, tiada had untuk pihak pembelaan untuk menghantar representasi kepada pihak pendakwaan.

“Kita boleh tarik rayuan atau representasi kami untuk mereka menimbang, itu adalah tanggungjawab kami.

“Sama ada ada kes atau tidak, itu ditentukan mahkamah, biar mahkamah dengar perkara itu.

“Kalau ada bukti yang bagus, biar kami uruskan bukti itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here