Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengenakan caj penggunaan aerobridge di lapangan terbang kepada sebanyak RM85 bagi setiap setiap jam.

Ini bermakna sekiranya ia digunakan untuk pelepasan dan ketibaan pesawat jenis Airbus A320 dengan jumlah penumpang 180 orang, kos yang dikenakan bagi setiap penumpang adalah lebih kurang RM0.24 sen.

Kementerian Pengangkutan berkata, untuk satu perjalanan di dua lapangan terbang, jumlah yang perlu dibayar oleh setiap penumpang adalah dianggarkan sebanyak RM0.50 sen.

Menurutnya, MAHB menyediakan kemudahan aerobridge di kebanyakan lapangan terbang di Malaysia dan sentiasa menggalakkan syarikat-syarikat penerbangan untuk menggunakan semua kemudahan yang disediakan di setiap lapangan terbang di Malaysia, termasuk aerobridge bagi memudahkan pergerakan penumpang terutamanya golongan warga emas, kanak-kanak, ibu mengandung dan orang kurang upaya (OKU).

“Walau bagaimanapun, syarikat penerbangan diberi pilihan sama ada menggunakan kemudahan tersebut atau sebaliknya,” katanya dalam laman web Parlimen.

Kementerian itu menjawab soalan Ahli Parlimen Lawas-GPS, Datuk Hendry Sum Agong yang bertanya sama ada kesemua penerbangan AirAsia dapat menggunakan Aerobridge yang disediakan di lapangan terbang.

Bagaimanapun, katanya, AirAsia memilih untuk menggunakan tangga daripada jambatan udara (aerobridge) selari dengan model perniagaan dan konsep penerbangan tambang murah yang dipraktikkan oleh syarikat ini.

Namun begitu, AirAsia sentiasa menitikberatkan soal kecekapan dan keberkesanan sistem perkhidmatan penerbangan tambang murah tanpa menjejaskan kualiti servis dan mutu perkhidmatan.

“AirAsia beroperasi berdasarkan waktu pusingan 25 minit antara ketibaan dan pelepasan sesebuah pesawat. Ini bermakna sebaik sahaja pesawat mendarat, ia mempunyai tempoh masa hanya 25 minit sahaja untuk proses penumpang keluar dan seterusnya penumpang masuk dan bersedia untuk berlepas semula.

”Menurut AirAsia, penggunaan tangga untuk menurunkan penumpang dan menaiki pesawat membolehkan kedua-dua pintu depan dan belakang digunakan serentak. Dalam hubungan ini, disiplin untuk terus mengekalkan tempoh di bawah paras 25 minit adalah sangat penting bagi AirAsia,” ujar beliau.

Tambah Kementerian Pengangkutan, penggunaan aerobridge akan diberi keutamaan apabila berlakunya hujan, kes-kes kecemasan dan penumpang berstatus OKU dengan mobiliti terhad.

Penumpang OKU boleh memaklumkan status mereka melalui sistem tempahan atas talian atau melalui agensi pelancongan agar pihak AirAsia mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan menggunakan aerobridge dengan pihak lapangan terbang.

“Bagaimanapun, AirAsia memaklumkan ia sentiasa memberi keutamaan terhadap keselamatan penumpang. Dalam hubungan ini, segala kesulitan yang dilalui oleh penumpang sentiasa diambil kira.

“Sekiranya terdapat keadaan cuaca yang buruk atau adanya tetamu OKU yang memerlukan perkhidmatan aerobridge, AirAsia akan memberi keutamaan tanpa sebarang kos tambahan kepada penumpang,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here