Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan majlis pengurniaan watikah pelantikan Profesor Diraja kepada Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Istana Negara, hari ini (23 Oktober).

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahimberkenan mengurniakan pelantikan Profesor Diraja kepada Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Beliau merupakan Pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).

Pelantikan Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai Profesor Diraja ini adalah merupakan pelantikan kali kedua selepas pelantikan Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada tahun 1978, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi.

Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dilahirkan pada tahun 1931 dan telah mendapat pendidikan awal di English College Johor Bahru yang kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar pada tahun 1946.

Beliau meneruskan pendidikan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1957 sebelum melanjutkan pengajian pascasiswazah pada tahun 1960 di University McGill, Kanada dan seterusnya di University of London, United Kingdom pada tahun 1963.

Pengurniaan pelantikan Profesor Diraja kepada Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah bagi mengiktiraf sumbangan beliau yang merupakan seorang tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani dan dihormati di dalam dan luar negara.

Beliau turut memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang telah diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni.

Gagasan ini telah mendorong Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas untuk mengasaskan ISTAC pada tahun 1987 yang berperanan sebagai sebuah institusi Islam dalam melahirkan sarjana dan ilmuwan Islam terkemuka di seluruh dunia.

ISTAC merupakan warisan intelektual dan pusat rujukan yang memiliki koleksi manuskrip, jurnal, monograf dan bahan-bahan rujukan eksklusif terutama mengenai tamadun dunia.

Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah antara tokoh penting bagi penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia dan menyumbang dalam merencana dasar, falsafah dan logo universiti dengan moto Zidni Ilman (tambahkan kepadaku ilmu) pada tahun 1970.

Kini, UKM adalah merupakan salah sebuah universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia yang telah melahirkan modal insan terpelajar di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Selain itu, Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas juga individu yang bertanggungjawab membuat pembentangan mengenai konseptualisasi universiti Islam di Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Mekah pada tahun 1977 yang telah membawa kepada penubuhan beberapa universiti Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here