Dua suspek lelaki berbaju jingga direman seminggu di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini bagi membantu siasatan kes culik ahli perniagaan

JOHOR BAHRU – Dua lelaki dan seorang wanita warganegara Vietnam direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penculikan seorang ahli perniagaan di daerah ini pada 13 Oktober lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Muhammad Fitri Mokhtar, pagi tadi.

Tahanan reman sehingga Rabu ini membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap kesemua suspek mengikut Akta Penculikan 1962.

Kesemua suspek yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan awal pagi semalam di sekitar kawasan Batu Pahat.

Dua suspek lelaki tiba di pekarangan Mahkamah Majistret, di sini, pukul 8.40 pagi manakala suspek wanita pula tiba satu jam kemudian, semua mereka berpakaian baju lokap berwarna jingga.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, pihaknya menahan 13 individu berusia 23 hingga 58 tahun dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini bermula pukul 9 malam semalam.

Beliau berkata, seorang daripada yang ditahan itu merupakan ahli keluarga mangsa.

“Daripada 10 lelaki itu, lapan merupakan warga tempatan dan dua lelaki warga asing manakala tiga wanita itu melibatkan dua wanita tempatan serta seorang wanita warga asing.

“Operasi tangkapan tersebut dilakukan bermula pukul 9 malam pada 22 Oktober lalu di kawasan Kota Tinggi dan seluruh Johor,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang ahli perniagaan diculik oleh beberapa lelaki dalam kejadian di daerah ini sebelum dipercayai dibebaskan selepas wang tebusan dibayar.

Memetik laporan akhbar, China Press, peniaga berkenaan, 59, ketika itu dijadualkan untuk ke luar negara bagi urusan perniagaannya sebelum dilarikan pukul 5 pagi, Ahad lalu.

Difahamkan ahli keluarga ahli perniagaan itu mendakwa terpaksa membayar RM20 juta bagi tujuan membebaskan mangsa.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here