KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen PKR hari ini menggesa kerajaan menyatakan status kes seorang pemandu Grab kurang upaya yang mendakwa dipukul oleh seorang pengawal pengiring kepada Pemangku Sultan Johor.
Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) yang membangkitkan isu tersebut ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat berkata, sebagai seorang ahli Parlimen beliau tidak akan membiarkan perkara itu berlalu begitu sahaja.
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai satu pelanggaran prinsip keadilan kerana individu berkenaan merupakan rakyat Malaysia yang perlu dibela.
Artikel berkaitan: Tindakan sudah diambil ke atas pengiring pukul pemandu OKU – Ketua Polis
OKU dipukul pengiring kenamaan: Siasatan JIPS selari aspek tatatertib
KDN tak campur tangan kes anggota pengiring pukul OKU
MGNews : Dakwaan Pengiring TMJ Pukul OKU Sedang Disiasat – Shuhaily
“Jadi, saya sebagai seorang ahli Parlimen dan bercakap sebagai seorang peguam, ini satu pelanggaran prinsip keadilan, driver (pemandu) tu rakyat kita.
“Kalau kita di Parlimen ini yang angkat sumpah di depan ini dulu untuk membela Perlembagaan, menjamin keadilan untuk semua rakyat… rakyat OKU pekak… kita tidak dapat bela, saya minta menteri yang jaga undang-undang seorang lawyer (peguam), timbalan menteri yang jaga undang-undang seorang lawyer, jawab di Parlimen ini.
“Bila Peguam Negara, pendakwa raya nak bawa kes ini ke mahkamah..,kita tidak akan benarkan perkara ini berlalu begitu saja,” katanya dalam nada tegas.
Sebelum ini, media melaporkan lelaki kurang upaya bisu dan pekak dipukul seorang pengawal pengiring kepada orang kenamaan di sebuah hotel dekat KL Sentral pada 28 Mei lalu.
Mangsa didakwa dipukul ketika berada di lobi hotel berkenaan selepas menerima tempahan untuk mengambil empat penumpang di hotel berkenaan pada pukul 11.40 pagi. – MalaysiaGazette